Showing posts with label Wak Jhijho. Show all posts
Showing posts with label Wak Jhijho. Show all posts

Sunday, 3 March 2013

NGENES

NGENES

Aku tidak tahu bagaimana harus kumulai bicara pada dinihari ini. Ternyata sukar amat untuk kuzahirkan kata-kata. Hati dan mindaku saling bergelut, berganti tindih. Kadang-kadang di atas dan sering pula minda itu tewas, tersepit di celah-celah puing frasa. Sebetulnya rasa yang sukar dimengertikan ini sudah beberapa detik mampir dan bertamu.

Ingin amat aku memotretkan pada malam bahawa aku kecanduan rupa, rasa juga. Cebisan kangen di bawah sedar yang melorot telah menabrak memori semahu-mahu. Aku kemalangan lagi untuk kesekian kali. Rasanya kali ini tambah parah. Luka lama berdarah kembali, berdenyut-denyut tidak mahu berhenti.

Apa lagi yang dapat kuperbuat selain tekal berharap. Menanti dan berharap itu setahuku merupakan suatu doa. Walau segalanya kelihatan sudah tidak mungkin, tetapi dengan keajaiban, yang tidak mungkin itu bakal berubah menjadi mungkin lalu pasti. Dengan kehendak Allah, segalanya pasti terjadi. Pasti.

Dan dalam dingin pagi sesepi ini, aku pasrah. Bertawakal.

JUN

JUN

Sama ada suka atau sebaliknya, Jun pasti mampir. Tidak terelakkan lagi kerana Jun datang untuk melengkapkan setahun kalendar tetapi tidak pernah menggenapi tragediku yang panjang.

Tanggal 7 Jun, aku sempurnakan kewajipanku. Dengan penuh yakin dan tawakal, tali di dermaga kuleraikan. Bahtera perlahan-lahan bergerak meninggalkan pelabuhan lalu menuju ke lautan lepas. Makin ke tengah, asakan ombak makin terasa. Kian lama tambah seru, membadai terus-terusan. Gelombang saling berantakan menghentam kiri dan kanan, atas serta bawah. Kenaikan jadi olang-oling, tidak keruan dan sudah mahu karam benar. Kemabukan rupa tidak tergambarkan lagi. Antara sedar dengan tidak, alam terasakan hilang, lenyap.

Puing bahtera berserakan di serata-rata. Segala isi kapal turut bertaburan dan hanyut disongsong alun laut. Tidak ada yang kering kerana semuanya kebasahan malah kehilangan. Rugiku tak terhitung lantaran bahteraku yang pecah itu.

Oh, Tuhan. Setiap kali 13 Jun, tawarikh itu takkan kunjung padam. Di gigi air, aku datangi dan terpaku menghadap lautan. Nun jauh di tengah-tengah, kemalanganku terkubur tanpa nisan. Talkinnya berulang-ulang tidak juga surut.

SENJA MERAH

SENJA MERAH

Senja merah ini mengingatkan aku
tentang kamu yang menjanjikan bulan serba bintang
lewat katamu, "Aku lebih mengasihi kau berbanding dia.
Ambil pisau belah dadaku. Nanti kau akan tahu betapa aku
memujamu sepanjang usiaku. Dan Tuhan jadi saksi, sumpah ini."

Tetapi ternyata kau bohong
janjimu sarat dengan khianat
tipu dayamu berakar dalam senyap
merobek-robek bikin morat-marit
impian dan kehidupan
nyaris nadiku juga.

Tidak mengapa kau setega itu
pelan-pelan aku terima hakikat
kau sebetulnya pelahap jalanan
yang mengemis di kaki lima malam
bermuka-muka lagi onar berbicara
demi sesuap cendol penuh noda
agar tidak bungkam
kebuluran.