Showing posts with label Liza Isma. Show all posts
Showing posts with label Liza Isma. Show all posts

Sunday, 3 March 2013

BAGAIKAN MIMPI


BAGAIKAN MIMPI

Tiba-tiba tersentap
kelu lidah tak terkata
mata bagai tak berkelip
... menatap suatu peristiwa
persis zaman pra merdeka,
mendepani komunis di hutan...

Fikiran merayap,
mencari titik permulaaan,
mengapa boleh terjadi?
Bagaikan mimpi,
menatap sebuah kisah duka
gugurnya perwira negara.
Alangkah, sedihnya!
Menatap sebuah keluarga,
meratap kehilangan perwiranya...

Akal sedar menerjah,
Mengapa boleh berlaku
penceroboh menceroboh?
Apa sebenarnya?
Apakah ada musuh di dalam selimut?
Atau ada gunting dalam lipatan?
Atau juga ada musang dalam reban ayam?
Atau waris Si Kitol telah lahir?

Hanya iringan doa,
mampu dititipkan
mengiringi langkah para pejuang,
moga bertemu jalan pengakhiran
moga bertemu jalan perdamaian
moga tiada anasir mengambil peluang,
menangguk di air keruh....
Moga negara dan rakyat dalam lindungan Allah.

>>Gerak rasa, cetusan minda....
Liza Isma
3 Mac 2013?Ahad_11:50pm

Tuesday, 26 February 2013

~~Takah-takah Impian~~


‎~~Takah-takah Impian~~

Takah-takah impian didaki
mengejar indah pelangi
kadang jatuh
... terluka tapi tak berdarah,
namun pedih menggigit rasa.

Kini, telah kugapai puncak impian
moga daku tak tersungkur
di puncak harapan,
langkah juga tak tersadung
kala meredah lorong gelita
moga dalam kelam malam
akan disinari rembulan
moga juga kerdip kejora
menambahkan sinar

Pun begitu,
masih kuharap mencapai awan
namun tangan tak terjangkau
cukuplah berdiri di sini,
mendongak impian
moga ada jalan bahagia,
di hujung harapan...

>>Suara rasa di hujung hati...
Liza Isma,
26022013/Selasa_10:05pm

Saturday, 16 February 2013

~Di Mana Hatimu??~


‎~Di Mana Hatimu??~

Aku tidak pasti
di mana letaknya hati
kanan atau kiri
... semuanya sepi
tertanya sendiri,
benarkah hatimu untukku??

>>Suara hati di hujung rasa....
Liza Isma,
16022013/12:25am

Monday, 11 February 2013

RAWAN

RAWAN

Purnama sembunyi di balik awan,
tersipu malu bagaikan perawan,
rasa sakit menanggung rawan
menunggu tuan tak kunjung tiba
hati merindu tak siapa tahu
hanya tersebut di dalam hati
namun tuan buat tak peduli
biarlah hamba mengundur diri...

Liza Isma,
>> Suara hati di hujung rasa....
10022013/Ahad

Friday, 8 February 2013

KATA HATI, KATA MINDA

KATA HATI, KATA MINDA

Mata ralik menatap,
jiwa leka berkata,
hati menaruh harap,
fikiran pun berkelana...

Minda fikir berulang,
jiwa asyik berangan,
nafsu berkata sayang,
hati menaruh harapan....

Minda terus beringat,
jiwa asyik merindu,
fikir sering mengingat,
hati rindu selalu....

Minda bertelagah,
jiwa membantah,
fikiran menegah,
hati semakin resah.....

Kasih di hujung rasa,
Sayang di hujung hati,
Rindu setiap masa,
Ingat di dalam hati...

Liza Isma,
>>Suara hati di hujung rasa....
7 Februari 2013/7:00pm_Khamis.

PERMATA MENIKAM SUKMA

PERMATA MENIKAM SUKMA

Antara celahan pepasiran pantai
berkilau jernih sebutir mutiara
teraba-raba mencari kerdip sinar
tetiba hilang dari pandangan....

Berlarian anak
melilau mata
mencari merata arah,
tetiba terpijak serpihan bebatu
kerikil-kerikil tajam yang menikam,
tersentak sukma jiwa,
tempias mengena wajah,
tertusuk pedih bagaikan belati...

Aduh, pedihnya!!
Sembilu itu halus
tak kelihatan
namun sakit,
amat!

Tolonglah!!
Keluarkan sembilu ini,
yang mencucuk perdu hati...
Sebak di dada,
teresak-esak menahan sakit.
Aduh, bisanya!!

Liza Isma,
>>Suara hati di hujung jari....
6 Februari 2013/10.15pm_Rabu.

Sunday, 27 January 2013

~Bisikan Cinta~~


‎~Bisikan Cinta~~

Indah sungguh bisikan cinta
teroleng-oleng diamuk badai rasa
ralik menatap bait kekatamu
... bernada rindu
bermadah sayang
terkaku seketika di situ,
dilambung ombak rindu
hingga tak sedar hampir kelemasan...

Ya Allah, lindungilah hamba
peliharalah detikan hati ini,
Ya Allah, redhailah tiap detikan rasa
tabahkanlah hamba atas segala dugaan..
Jika kasih ini bukan milik hamba
lindungilah hati ini,
buangkanlah detikan ini
hilangkanlah rasa kasih ini...

LizaIsma,
>>Suara hati di hujung tinta...

27 Januari 2013/12.05pm_Ahad.

BISIKAN CINTA (II)


BISIKAN CINTA (II)

Bukan sengaja aku di sini
berlari di gigi pantai
membiarkan diri kelemasan
... menongkah badai
mengharungi ombak rindu..

Sesekali, kala berdiri di pesisir pantai,
badai datang menerjah dinding rasa
menjadikan aku lemas seketika
tercunggap-cunggap menghela nafas
membuang lelah yang bertandang
perit mencucuk rongga
bagaikan sembilu tajam menikam
melekat di dinding rasa..

Ah, sukarnya membuang rasa!!
Kumohon pada-Mu jua
Lindungilah aku dari amukan
ombak rindu, yang bukan milikku!

Liza Isma,
>>Suara hati di hujung tinta…
27 Januari 2013/0935pm_Ahad.

Saturday, 19 January 2013

~~Liku-liku Perjalanan~~

Semakin jauh berjalan, semakin berliku
hendak diredah takut terbabas
terpaksalah berhenti di tengah
berfikir arah nak dituju
elok diterus atau berhenti di sini?

Tidak kugusar jalan berliku
Telah selalu kulalui denai itu
hanya kekadang tertusuk duri
namun bisa kurawat sendiri
biarpun terpesit-pesit menahan sakit
masih jua gagah berjalan
biarpun kekadang berhenti melepas lelah
namun masih gagah mengejar impian...

Liza Isma,
18012013/0520_Jumaat

Friday, 18 January 2013

~~Biarkan Ilham Lena Seketika~~

Malam ini ilham bagaikan terlena. Diam kaku di sebalik tirai sepi.
Menungan tidak akan menjanjikan ilham hadir menyapa.
Lalu, biarkanlah ilham beradu seketika. Kerana jika dipaksa jua,
pasti hambar. Lemah! Tidak akan menjanjikan kemanisan rasa. Tawar!
Setiap detikan hati, biarlah dari jiwa yang luhur.
Mengalir dalam alur fikir nan jujur. Minda berfikir biarlah waras.
Jangan terbabas dan terlepas, bebas meluah segala resah rasa.
Kerana yang melihat akan mencebik. Atau akan ada nan terguris rasa.
Berfikirlah dengan akal, barulah tidak dikata dangkal.
Pastikan segala ilham yang tercerna akan menjana minda,
mendidik jiwa siapa yang menatap. Pastikan puas, kala berkongsi sebuah rasa.
Di sebalik lakaran sebuah cerita. Di sebalik catatan madah biasa.
Ada mencuit rasa. Ada menggamit mesra.

Liza Isma,
2 Januari 2013/9.25pm_Rabu.