Showing posts with label Sumie Gelap. Show all posts
Showing posts with label Sumie Gelap. Show all posts

Thursday, 17 November 2011

Manusia, manusia-manusia

kau fikir, kenapa agaknya aku berada di sini?
menjual darah pekat hitam
atau mengemis manik manik jernih
kerana hati kamu masih ada budi
dan aku sudah tiada pekerti?
maka senang untuk kamu memberi
menghentam sesuka hati
dan aku seharusnya disuruh berdiam
tadahkan saja kedua tangan
kerana kamu adalah orang suci.

aku bukanlah si pengemis
yang mengiyakan akan pemberianmu
bukan jua sang pemberontak
yang persisnya sering menggolak sisi malaikatmu
tetapi aku adalah pencarik deriamu
terbangkit bukan?
rasa ingin terbangun
menyatakan jalan mana harusku pilih
mempadukan simpati yang engkau katakan mengerti
lalu paradigmamu bereksplorasi
cuba berkolaborasi mencari klimaks.

begitulah!
aku bukan manusia durjana
yang cuba menjebakmu dalam kehinaan
sedarku akan kemanusiaan manusia
lalu kugarapkan sebuah hakikat
tidak ingin meraih apa-apa
sekadar menjadi manusia
yang membuat salah seperti mana kau pernah
yang menegakkan benar apabila kau benar.

-gelap-
17-11-2011

Hujan November

Hujan November
membasahi hatiku
dataran yang dahulunya tenang landai
kini ditenggelami air mata duka
melenyapkan bahagia yang dipuja.

Hujan November
membawaku jauh merantau
kerna halamanku dimusnahi banjir
tiadalah lagi seri yang dapat dikongsi
yang tinggal hanya sisa derita.

Hujan November
adalah hujan nestapa
jalanan sebuah cerita
hidup seorang kembara
yang waqafkan hatinya di pagi Adha.

-gelap-
15-11-2011
2.50 am
perantauan.

Aku merinduimu seindah pelangi

aku merinduimu seindah pelangi
kerna aku mahu engkau bahagia
sedarkah engkau
di dalamku sedang bergelora
menunggu mentari dalam hujan
hanya untuk buatmu tersenyum
kerna bahagiamu adalah kemahuanku.

aku menyayangimu sehangat mentari
kerna aku mahu engkau gembira
tahukah engkau
malamku hanya keseorangan
menunggu hilangnya rembulan
hanya untuk mewarnai siangmu
kerna nafasmu adalah nyawaku.

aku mencintaimu sedingin purnama
kerna aku mahu engkau tenang
mengertikah engkau
hidupku tak pernah bermakna
andai yang terluka itu adalah hatimu
aku rahsiakan segala tangisku
hanya kerna aku cintaimu.

begitulah kisahku
korbankan segalanya
hanya untuk buatmu bahagia.