Showing posts with label Pauzi Mohd Isa. Show all posts
Showing posts with label Pauzi Mohd Isa. Show all posts

Monday, 4 March 2013

SYAIR BIAR TULANG BERKECAI.



SYAIR BIAR TULANG BERKECAI.
MENYERAH TIDAK SEKALI.
Gugur perwiraku membela negara,
Harum jasamu bersemadi di pusara,
Luhur berbakti semangat membara,
... Penceroboh asing halaulah segera.

Tulang berkecai rebah ke tanah,
Nyawa terpisah pantang kalah,
Kedaulatan kita diceroboh salah,
Jiwa pejuangmu indah terserlah.

Biarlah darah melimpah di bumi,
Sungguh berani teguh bersemi,
Leluhur hatimu harum disulami,
Kasihkan negara indah diselami.

Kepada wira yang telah pergi,
Jasa dan budimu tidakkan rugi,
Bekas baktiku harum mewangi,
Akan dikenang kasihmu tinggi.

Jiwa dan raga kepada negara,
Gagah berjuang tiadalah tara,
Berpantang kalah terus mara,
Namamu diletak sebagai wira.

Biarpun jasadmu sudah terkulai,
Obor semangatmu tidak longlai,
Mara ke hadapan tak bisa lalai,
Pergorbanan tuan tidak ternilai.

Sungguh murni jiwa dan budimu,
Di saf hadapan musuh bertemu,
Penceroboh asing bagai tetamu,
Gaya pengecut musuh menjamu.

Jasadmu sudah ditembusi peluru,
Pengganas bangsat perlu diburu,
Pahlawan perkasa terus meluru,
Sanggup terkorban nusa diseru.

Slogan saja tidak bermakna,
Selagi peluru tidak terkena,
Tunjuk bukti dirimu berguna,
Luhur di hatimu tidak terlena.

Kendatipun nyawa sudah terlerai,
Gagah semangat bukanlah darai,
Sanggup berjuang perut terburai,
Selagi tak menang tidak bersurai.

Gugur wiraku sebagai pahlawan,
Sedia berkorban musuh dilawan,
Kepulanganmu ditangisi kawan,
Demi pertiwi terbukti setiakawan.

Al-fatihah kepada pahlawan yang gugur.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
Kg Serentang Baru,
35500 Bidor,Perak DR
4.3.2013, Isnin, Jam 6.00 petang.

SYAIR BIDUK SATU DUA NAKHODA.


SYAIR BIDUK SATU DUA NAKHODA.
Biduk satu dua nakhodanya,
Menjadi keliru dua ketuanya,
Karanganku ini ada moralnya
Hidup kita banyak ragamnya.
...
Isteri di rumah lagak nakhoda,
Suara isterinya dua kali ganda.
Arahan si suami dengar tiada,
Dua nakhoda berlainan nada.

Biduk berada di tengah lautan,
Dua nakhoda menjaga buritan,
Si awak-awak dalam kerumitan,
Duduk sama tiada kesepakatan.

Dua nakhoda terpisah puak,
Tiang muafakat menjadi luak,
Air mahabbah sudah dikuak,
Buih dengki membuak-buak.

Leka nenek memantak nasihat,
Dua nakhoda janganlah dilihat,
Bising riuhnya seperti dipahat,
Sering berkelahi tidaklah sihat.

Pabila dua ketua satu bahtera,
Haluan belayar tidaklah setara,
Benih cemburu makin membara,
Teringin menduduki kerusi juara.

Biduk pastinya akan bergoyang,
Dua nakhoda asyik berganyang,
Piring harmoni terbang melayang,
Alangkah molek berkasih sayang.

Masing-masing ingin berkuasa,
Kawal kemudi bahtera raksasa,
Pengaruh kuat tenaga perkasa,
Senjatanya amat tajam berbisa.

Pasti biduk akan tenggelam,
Dua ketua enggan bersalam,
Semakin keruh air di kolam,
Ikatan silaturahim jadi kelam.

Si gila pangkat beginilah jadinya,
Nakhoda gagah banyak kulinya,
Biduk di segara meriah bunyinya,
Dua nakhoda hilanglah budinya.

Janganlah jadi dua nakhoda,
Kelak suaranya tidak senada,
Harmoni dicari pasti tertunda,
Ralit berbalah malang melanda.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
Kg Serentang Baru,
35500 Bidor,Perak DR

Sunday, 3 March 2013

PANTUN SIMPULAN BAHASA:KAKI

PANTUN SIMPULAN BAHASA:KAKI
Angkat kaki, pasang kaki, kaki ayam, kaki bangku, panjang kaki, tumpang sekaki, kaki belit, kaki botol, kaki judi, patah kaki.
PANTUN:
Sari beropol benang sutera,
Pakaian lama pasang labuci;
Kaki botol bergelumang dosa,
Jangan pula tumpang sekaki.

Jendela terselak dara di katil,
Indah sekali sutera di meja;
Kereta rosak ada di bengkel,
Patah kaki tak kemana-mana.

Hati digarit resah kepalang,
Hati dirobek dada merana;
Kaki belit lidah bercadang,
Kaki bodek di mana-mana.

Bergalang ganti mencari jodoh,
Pengubat hati luluh dan remuk;
Pasang kaki menjejaki musuh,
Angkat kaki musuh mengamuk.

Di kaki bukit rendah mahang,
Dahan dah tua kera bercanda;
Si kaki belit lidah bercabang,
Janganlah pula kita terkena.

Kalau kenduri girang bersolek,
Bolehlah dara membilang laki;
Kalau rezeki datang bergolek,
Bolehlah kita tumpang sekaki.

Mencari keli di dalam alur,
Ikan haruan di parit dalam;
Kaki judi menikam nombor,
Jangan dimakan duit haram.

Mengerat padi bersama ipar,
Jerami masam letak di busut;
Angkat kaki segera beredar,
Berkaki ayam tidak berkasut.

"PANTUN PUSAKA BANGSA"

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
Kg Serentang Baru,
35500 Bidor,Perak.
3.3.2013, Ahad.
Jam, 9.00 malam.

GURINDAM TUGAS.

GURINDAM TUGAS.
Tugas kita memelihara agama,
Jikalau dihina jadilah pembela.

Tugas kita menjaga keamanan,
Hidup sejahtera di bumi watan.

Tugas kita memelihara perpaduan,
Negara berjaya kerana kesepakatan.

Tugas kita mempertahankan negara,
Berkorban nyawa berjuang bersama.

Tugas kita mendidik keluarga,
Aman bahagia bergurau senda.

Tugas kita memelihara pusaka,
Warisan bangsa intan permata.

Tugas kita sebagai pemimpin,
Jangan pula pekertinya miskin.

Tugas kita melunaskan janji,
Kata dikota keluhuran nubari.

Tugas kita memelihara sahsiah,
Indahnya susila budi terserlah.

Tugas kita memelihara maruah,
Kedaulatan negara usah digugah.

Tugas kita menjaga integriti,
Amanah dijaga mulia pekerti.

Tugas kita memegang amanah,
Kepercayaan orang tidak relah.

Tugas kita meyampaikan ilmu,
Dikongsi bersama di dada tepu.

Tugas kita hormat-menghormati,
Aman sentosa kehidupan harmoni.

Tugas kita mentaati perintah-Nya,
Kehidupan di dunia sementara cuma.

Wallahu’alam.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor, Perak DR
3.2.2013,Ahad,
Jam 3.20 petang.

SYAIR PERIUK MENGUMPAT BELANGA.

SYAIR PERIUK MENGUMPAT BELANGA.
Kisah syair periuk dan belanga,
Kedua-duanya hitam berjelaga,
Sesama mereka selalu berlaga,
Menuding jari mengumpat juga

Hitam periuk tidak mengaku,
Belanga hitam ego terbuku,
Sama-sama mencucuk paku,
Merendah diri letak di saku.

Tidak guna asyik bersengketa,
Periuk belanga berlawan kata,
Keaiban sendiri bukalah mata,
Mengumpat keji tidak dipinta.

Bukalah minda tanpa wasangka,
Duduk bersama baik bersemuka,
Periuk dan belanga cucilah luka,
Sama bermuafakat setiap ketika.

Sesama bangsa menyimpan dengki,
Suka mengumpat karatnya berdaki,
Busuknya nubari janganlah dimiliki,
Mengalir permusuhan bersaki baki.

Periuk menganggap diri permata,
Belanga pula mengaku pendeta,
Kedua-dua mementingkan kasta,
Inilah gaya masyarakat yang leta.

Tidaklah guna mengumpat keji,
Kekata berbisa tajamnya bertaji,
Kelemahan sendiri mesti dikaji.
Usah melekat walau sawi sebiji.

Fitrah manusia sifat cemburu,
Kerana status mulalah diseru,
Kesalahan orang mula diburu,
Kehidupan kita pastilah celaru.

Periuk belanga duduk setempat,
Letak di dapur hitamnya dapat,
Tidak perlu hendak mengumpat,
Kalau bermuzakarah tentu hebat,

Periuk dan belanga cuma misalan,
Sebagai peringatan petunjuk jalan,
Perbuatan negatif usahlah ditelan,
Sifat mengumpat bukanlah amalan.

Demikian syair periuk dan belanga,.
Bahasa sasteraku tidaklah berbunga,
Kupohon kemaafan jikalau berenga,
Kerana diriku ini bukaan puijangga.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor,Perak DR
2.3.2013, Rabu,
Jam 12.00 malam.

GURINDAM CELIK

GURINDAM CELIK
Celik mata di hati pejam,
Kacak bergaya hati hitam.

Celik ilmu penuh di dada,
Bangga selalu Allah murka.

Celik hati matanya buta,
Kekurangan diri usah dihina.

Celik teknologi zaman berubah,
Di hujung jari serata dijelajah.

Celik akal mindanya cair,
Dililit sesal jika tak berfikir.

Celik belajar mudah memahami,
Minda yang sifar tentulah rugi.

Celik di jalan raya akur peraturan,
Kemalangan jiwa boleh dielakkan.

Celik berpolitik kematangan fikiran,
Kritis dan analitik membuat pilihan.

Celik komputer satu kemudahan,
Zaman siber jangan ketinggalan.

Celik berniaga untung berganda,
Memikul laba rajinlah menderma.

Celik pengetahuan perkara semasa,
Soalan diajukan dapat dijawabnya.

Celik seni gambaran estetika,
Terserlah kreativiti idea direka.

Celik bersukan maju ke hadapan,
Negara ketinggalan banyak alasan.

Celik ekonomi melimpah rezeki,
Ibu pertiwi mewah hasil bumi.

Celik bahasa kemuliaannya dijaga,
Pusaka bangsa hendak terpelihara.

Celik budaya memelihara warisan,
Pusaka bangsaku bagaikan intan.

Celik pergaulan menjaga batasan,
Mengawal perbuatan kemilau iman.

Celik membaca melekap ilmu,
Semua perkara dapatlah tahu.

Celik rumah tangga hidup bahagia,
Rumahku syurgaku damai belaka.

Celik bersolat memelihara tertib,
Di malam pekat bertahajud abid.

Celik al-Quran selalu dibaca,
Sebagai panduan hidup kita.

Celik ibadat mengingati Allah,
Rajin munajat tangan menadah.

Celik agama berpaksi al-Quran,
Ikutlah semua usah dikecualikan.

Celik di dunia buta di akhirat,
Ahli neraka azabnya dahsyat.

Wallahu’alam.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor, Perak DR
1.3.2013,Jumaat,
Jam 11.00 malam.

Saturday, 2 March 2013

GURINDAM MANIS


GURINDAM MANIS
Manis bercinta puspa dan arjuna,
Berkasih mesra di sanggar asmara.

Manis berilmu tidak membeku,
... Mengalir laju dihiruplah madu.

Manis bersolat khusyuk teramat,
Si iblis laknat bisikannya disekat.

Manis belajar cepat memahami,
Tajuk yang sukar dapat dikuasai.

Manis bekerja dalam keseronokan,
Satu ibadah nikmatnya kepuasan.

Manis bersedekah kerana Allah,
Berinfak sudah jangan dihebah.

Manis bersahabat sehidup semati,
Perhubungan rapat setianya di sisi.

Manis berbicara dalam senyuman,
Memelihara bahasa mesra ikatan.

Manis berjanji tidak memungkiri,
Akan dipercayai sampai ke mati.

Manis berpuisi ilham bertandang,
Khalayak menyukai mesej terang.

Manis bersaudara bergurau senda,
Harmoni dijaga tidak bersengketa.

Manis berjiran bertegur sapa,
Mesra ikatan muafakat dijaga.

Manis berbudi santun berbahasa,
Sahsiah terpuji disenangi semua.

Manis bermesyuarat bulat pendapat,
Mukanya tak kelat sewaktu berdebat.

Manis bermuzakarah selesai masalah,
Tidak bertelagah membetulkan arah.

Manis beribadat di malam pekat,
Ralit bermunajat air mata dikesat.

Manis beramal membuat kebajikan,
Pahalanya tebal dilimpahi ganjaran.

Wallahu’alam.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor, Perak DR
28.2.2013,Khamis,
Jam 8.00 malam.

PANTUN JAUHARI


PANTUN JAUHARI

Puteri bersiram di taman istana,
Resah gelisah mamanda melihat;
Jauhari budiman menganyam kata,
Indah bertatah makna tersirat.

Kolek lama di sebelah sampan,
Ketitir singgah ayam berlari;
Semolek kata indah susunan,
Terukir indah anyaman jauhari.

Sudah tertarik sulaman sutera,
Kebaya labuci berona merah;
Indah cantik susunan makna,
Para jauhari teruja bermadah.

Ratna dewi dipikat laksamana,
Pandai mengukir pantang disapa;
Kata berseni tersirat makna,
Bagai sebutir bintang di angkasa.

Tingkah dibalun adat panglima,
Membawa guri bercapal hitam;
Indah tersusun tersirat makna,
Hanya jauhari mengenal manikam.

Mergat di rimba memakan diri,
Putera mahkhota di hutan dara;
Tersirat makna cerminan jauhari,
Meninta minda di halaman kata.

Mirih ke perigi menjalir bah,
Merbah teruja kodek haruan;
Gigih jauhari mengukir madah,
Indah bahasa molek susunan.

Wirawan berani di Gandan Sari,
Hujan mencurah lembayung sujud;
Tertawan puteri karangan jauhari,
Untaian madah terkandung maksud.

Cencana di pasir buaya menanti,
Sudahnya jais habis dimakan;
Cendekia berfikir para jauhari,
Indahnya buih memutih di lautan.

Puteri merajuk berpaling muka,
Gundik raja terpacul bertelut;
Jauhari terperuk memilin kata,
Cantik askara menyimpul maksud.

Mimik sagun hidangan puteri,
Lidah dibiasa selera berkurun;
Cantik pantun bingkisan jauhari,
Sudah dibaja bahasa temurun.

Kain mota pelayaran ke Jambi,
Badik pusaka disambut bentara;
Tercermin kata ukiran jauhari,
Cantik bahasa selembut sutera.

Turun menjaring sudah sehari,
Berani menyelam di dalam air;
Tekun menjalin madah berseni,
Jauhari budiman di kalam penyair.

Bendang digincah terbang merpati,
Menampi padi gondang di air;
Kekadang diluah tiada yang sudi,
Barangkali jauhari sedang berfikir.

Beremban titi pangkal kelapa,
Geruh di air berselisih buaya;
Kilauan jauhari akal mutiara,
Keruh di air menjernih kaca.

Menyenduk kari banjir sekawah,
Dikais-kais mengecut nangka;
Duduk jauhari mengukir madah,
Mengais-gais mencabut kata.

Menyudu angsa puyu ke reba,
Katak menyanyi sepat teruja;
Terharu di jiwa sayu terasa,
Tanjak jauhari dibebat sutera.

Bergayut kera turun ke kolam,
Belida sembunyi diacah haruan;
Selembut sutera pantun dianyam,
Laksana pelangi indah pandangan.

Buaya mandi bersidai di kolam,
Penjaga rimba cerdik lagaknya;
Hanya jauhari pandai menyulam,
Mutiara kata cantik letaknya.

Ulam dicari meranduk kelebur,
Redah jerumun angsa melompat;
Kalam jauhari pucuk bertabur,
Buah meranum tersirat makna.

Puyu berlari ke alur bawah,
Hendak menyelam kujahil di air;
Cemburu jauhari melayur madah,
Hendak dianyam kujahil bersyair.

Kebaya Saloma beropol indah,
Cantik bertatah sulaman labuci;
Mutiara kata terpantul madah,
Molek terserlah kerdipan bestari.

Timba besi takalnya dipesan,
Dalam telaga ditimba bersama;
Para jauhari akalnya intan,
Bersulam permata mutiara kata.

“PANTUN PUSAKA BANGSA”

Hayatilah pantun hamba. Terima kasih.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor,Perak DR.

Monday, 25 February 2013

SYAIR KADUK NAIK JUNJUNG.


SYAIR KADUK NAIK JUNJUNG.

 Ramainya cucu datang duduk,
Nenek berpesan perihal kaduk,
Diadun baulu di tangan senduk,
Tekun cucu mendengar tunduk.
...
Alkisah kaduk naiklah junjung,
Merasai diri seperti disanjung,
Konon hebat hidup di tanjung,
Menjalar dari hujung ke hujung.

Cerita nenek banyak tamsilan,
Pokok kaduk hanya tempelan,
Spesies liar menjadi perbualan,
Tarafnya hina disangka bulan.

Tumbuh bebas di atas tanah,
Junjung sireh rebah musnah,
Tegal kaduk punya kerenah,
Lupalah diri asalnya di tanah.

Hidup bersepah tidak dipandang,
Subur segar di hutan dan ladang,
Pabila junjung kaduk terpandang,
Mula memanjat lama bercadang.

Kaduk di junjung mula perasan,
Memanjat tinggi tanpa batasan,
Lupa dirinya menjemput alasan,
Enggan mengaku dirinya picisan.

Inilah berlaku dalam kehidupan,
Perangai buruk menyirna sopan,
Konon baik mendudu ke depan,
Rupanya sombong budi dikapan.

Apabila si kaduk lupa asalnya,
Pamer kuasa menurut katanya,
Sejarah lama amatlah hinanya,
Naik junjung tak ingat dirinya.

Siapa sangka sebelumnya akur,
Jikalau dilihat seperti bersyukur,
Suka mengangguk bagai tekukur,
Sekarang takbur tak kenal cekur.

Setelah berada di junjung tinggi,
Kaduk mulalah bersikap ranggi,
Suka memerintah mengetap gigi,
Junjung patah dirinya yang rugi.

Memang dasarnya tak sedar diri,
Pabila kendiri dah pandai berdiri,
Lupa daratan di tempatnya berlari,
Sifat beginilah yang menjadi duri,

Janganlah ada pemimpin begini,
Di hadapan orang tunjuk berani,
Menjinjing bongkak di sana-sini,
Dulu merempat dah senang kini.

Di mulut nenek berbuih sudah,
Teladan kaduk si cucu meludah,
Kita sendiri mengambil mudah,
Perbuatan begini tidaklah indah.

Di akhir cerita nenek berpesan,
Jadikan budi sebagai perhiasan,
Tamsilan kaduk moga berkesan,
Moleklah pekerti seorang insan.

Beginilah kisah perihal kaduk,
Hidup subur di tepi senduduk,
Naik junjung tidaklah tunduk,
Resam begini jangan diranduk.

Akhirul kalam beginilah syairku,
Bahasaku pincang daku mengaku,
Kendiri tak kisah jikalau tak laku,
Dek puisi lama dibugarnya berlaku.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor,Perak DR
25.2.2013, Isnin,
Jam 9.30 malam.

SYAIR PUTIH DAN HITAM


SYAIR PUTIH DAN HITAM

 Ingin kukisahkan hitam dan putih,
Syair kugubah bahasaku bertatih,
Ada tamsilan warna yang kurintih,
Ingin kucuba bahasaku membertih.
...
Warna yang putih tentulah bersih,
Indahnya pekerti tidaklah tersisih,
Rindu berombak asmara berkasih,
Memintil cinta kesetiaannya masih.

Warna hitam suram dan sedih,
Nubari di dalam terluka pedih,
Kasih terlerai di jiwa mendidih,
Remuk di hati bertindih-tindih.

Jikalau menganggap dirimu putih,
Pandang ke bawah ada merintih,,
Kecacatan kamu pastilah memutih,
Panau di dadamu dipandang letih.

Hati yang hitam perlulah dibersih,
Andainya berkurap dirimu tersisih,
Perbuatan keji hendaklah disisih,
Nubari yang mulia Allah pengasih.

Jiwa yang putih manis bak dadih,
Selalu mengadap maha Pengasih,
Syaitan membisik tidaklah boleh,
Amalan hariannya sudah ketagih.

Hitam dan putih bertindih-tindih,
Fitrah manusia kurang dan lebih,
Meraup susila janganlah dikalih,
Mengalir dursila bonda merintih.

Gunakanlah akal ketika memilih,
Kaca di tangan lukanya pedih,
Jika permata kemilaunya jernih,
Hati yang suci janganlah ditoreh.

Syair yang kugarap masih bertatih,
Dek kesudian kalian terima kasih,
Di mindaku menari sudahlah letih,
Biarlah kuberehat fikiranku pulih.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor,Perak DR
24.2.2013 Ahad,
Jam10.40 malam.

PANTUN PUSAKA BANGSA 2:


PANTUN PUSAKA BANGSA 2:

 Selendap rimba dedaun tua,
Di hulu Melaka setapuh layu;
Bersiap siaga pantun dibawa,
Peluru kekata penuh di saku.
...
Tebu merimbun tiada dijaga,
Lebat pelam dikaitnya amah;
Selalu berpantun kaya kekata,
Melihat alam terbitnya madah.

Dara ke kebun berkain selendang,
Lelah membaja di pangkin terlelap;
Budaya berpantun semakin hilang,
Khazanah bangsa semakin lenyap.

Sayup saujana di Jambatan Pecah,
Keluarga bercuti melepak di pekan;
Taksub mereka tinggalan penjajah,
Budaya sendiri hendak dihumban.

Melantun sepi walang nubari,
Memuji cinta dugaan kelmarin;
Pantun tradisi kurang diminati,
Puisi lama sambutannya dingin.

Di tepi rumpun kumbang menari,
Tempua terbang adik di pangkin;
Tradisi berpantun kurang diminati,
Remaja sekarang asyik bermain.

Kebun di ladang rajin disiram,
Di parit dingin hendak menjelum;
Pantun dihidang semakin suram,
Digamit dingin tidak menguntum.

Bayas di baruh daun merimbun,
Sendayan mati nampak di tanah;
Selepas luruh pantun menimbun,
Lintasan hati hendak bernoktah.

Daun terpisah tiada rimbun,
Ciak serama jumpa di rimba;
Pantun indah rima tersusun,
Enak dibaca pusaka bangsa.

Ke pasar sehari makan burger,
Dara jelita meriah bergebang;
Agar menjadi insan berkaliber,
Pusaka bangsa usah dibuang.

Mengasah bedama pusaka imam,
Pinggan bersusun lama berkurun;
Mengasah minda lama dipendam,
Dengan berpantun kata disusun.

Petani memekik kera berlari,
Kebun nangka di tepi hutan;
Budi yang baik dibawa mati,
Pantun pusaka jadi warisan.

Kain cindai pakaian nak dipakai,
Lepas ke bahu terletak labuci;
Ingin capai tangan tak sampai,
Menggalas ilmu si bijak jauhari.

Silau lampu cahaya melantun,
Aroma masakan tenggiri digulai;
Kalau selalu membaca pantun,
Lama-kelamaan menjadi pandai

Sepat benua ditahan pukat,
Dukun dipanggil memagar titi;
Dapat bersua dengan sabahat,
Pantun dinukil memugar tradisi.

Bapa ke kebun berkain londeh,
Meninjau pagar ladang kelapa;
Budaya berpantun yakin boleh,
Kalau dibugar sepanjang masa.

Di tepi pasu seroja berbunga,
Kebun mentimun dibaja sudah;
Tradisi Melayu pusaka bangsa,
Pantun dilantun askara indah.

Ke kebun cinta terpahat duri,
Sepi merungkup diratah lara;
Berpantun kita merawat sepi,
Hati yang kusut berubah ceria.

Ke pekan Satun teruja pengantin,
Bersusun sutera kepulauan Sulu;
Warisan temurun serinya terjamin,
Pantun pusaka kebanggaan Melayu.

Kebun ciku di sebelah bendang,
Di celah pula lenggapus herba;
Pantun Melayu usahlah hilang,
Khazanah bangsa harus dijaga.

“PANTUN PUSAKA BANGSA”

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor,Perak DR.
24/2/13(Ahad),
Jam 8.00 pagi.

SYAIR MINDA KELIRU.


SYAIR MINDA KELIRU.

 Minda keliru tajuk kukupas,
Lidah bertutur cakap lepas,
Tuan di atas selalu dikipas,
Berita panas cuba ditampas
...
Ilmu di dada bukan ukuran,
Bicara tidak selari al-Quran,
Lidah merapu semua hairan,
Minda keliru cari kebenaran

Apabila semua ingin bercakap,
Bangsa keliru hendak didakap,
Ilmu songsang mula ditangkap,
Yang mana satu perlu diserkap.

Kekata indah suara memukau,
Kita mendengar bagai dipukau,
Mindanya keliru cuba dicekau,
Walhal ilmunya tak terjangkau.

Jikalau khalayak minda keliru,
Rakyat di bawah menjadi haru,
Bangsaku pening tergaru-garu.
Apabila fakta sudah bercelaru.

Minda celaru keputusan melulu,
Konon berilmu silapnya selalu,
Agenda peribadi hendak dipalu,
Digadai maruah tidak pun malu.

Minda celaru terbitlah bimbang,
Apabila gelas dikatakan dulang,
Menyusun kata bersilang-silang,
Keliru minda datang berladang.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor, Perak

GURINDAM HENDAKLAH


GURINDAM HENDAKLAH

 Hendaklah kita taat perintah-Nya,
Insan bertakwa tempatnya syurga.

Hendaklah kita mengimarahkan masjid,
... Berjemaah bersama pahala membukit.

Hendaklah kita mengasihi ibu bapa,
Pengorbanan mereka tidak terkira.

Hendaklah kita berbaik sangka,
Jangan suka membelai sengketa.

Hendaklah kita bersopan-santun,
Indahnya susila khalayak kerumun.

Hendaklah kita menghormati mu’alim,
Ilmu yang ditimba usahlah bermusim.

Hendaklah kita menunaikan solat,
Tiang agamanya kukuh dan kuat.

Hendaklah kita membayar zakat,
Rezeki di riba pastinya berlipat.

Hendaklah kita selalu bersedekah,
Membantu mereka dihimpit susah.

Hendaklah kita hidup muafakat,
Hidup bersama silaturahim erat.

Hendaklah kita memelihara lidah,
Tajam berbisa di nubari berdarah.

Hendaklah kita berlaku jujur,
Amanah dibaja bertunas subur.

Hendaklah kita menjaga maruah,
Arang di muka dibersihkan susah.

Hendaklah kita mengelak fitnah,
Berat dosa ke syurga dah punah.

Hendaklah kita mengumpul amalan,
Biarlah bercahaya dengan keimanan.

Hendaklah kita mengingati mati,
Bekalan ke sana semoga wangi.

Hendaklah kita bersedia dijemput,
Azab di neraka mengundang kecut.

Walahu’alam.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor,Perak.
22.2.2012,Jumaat.
Jam 4.13 petang.

SYAIR RESMI PADI


SYAIR RESMI PADI

 Salam kuhulur tanda ingatan,
Merunduk padi jadikan intan,
Sifat mulia dalam perbuatan,
Lagak takbur tiada kelihatan.
...
Padi di tangkai tunduk berisi,
Sarat ilmunya tidak disangsi,
Resam begini perlu dikongsi,
Sudah mati namamu tak basi.

Resmi padi fitrah berguna,
Meletak diri kendiri dihina,
Walhal dia amat bijaksana,
Meninggi diri mesra disirna.

Jikalau tuan bersifat begini,
Datang pujian berguni-guni,
Rapatlah wanita mula berani,
Kerana tertarik mulia nurani.

Malang pula nasibnya padi,
Isinya hampa tidak menjadi,
Ada insan dengki bermandi,
Perangai cela menjadi-jadi.

Walau di serata kaki memijak,
Merendah diri tak hilang jejak,
Berpekerti mulia tidak terlajak ,
Sopan berbudi tidak berganjak.

Resam padi merunduk malu,
Watak begini sangatlah perlu,
Sifat budiman didakap selalu,
Di hati bongkak segera dipalu.

Setinggi gunung mencapai awan,
Usah sombong menghina kawan,
Riak dikendong tidak menawan,
Meluat dilihat kawan dan lawan.

Janganlah diturut sifatnya lalang,
Enau di belukar tinggi menjulang,
Mementingkan diri maruah hilang,
Manusia begini sangatlah malang.

Budi terbuang kerana permata,
Mudah digoda masyarakat leta,
Gadai maruah tangan meminta,
Walang kalbuku meronta-ronta.

Kalam penyair berhenti di sini,
Resmi padi haruslah diteladani,
Tamsilan mulia bak besi berani,
Sahabat di sisi amat menyakini.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor,Perak.
22.2.2013,Jumaat,
Jam 11.30 malam.

PANTUN BAIK-BAIK LAKU


PANTUN BAIK-BAIK LAKU

 Cantik-cantik bunga,
Dahan dikepak-kepak;
Baik-baik berbahasa,
Jangan dipijak-pijak.
...
Baik-baik ke telaga,
Tangan dipercik-percik;
Baik-baik berbahasa,
Jangan diracik-racik.

Cantik-cantik belaka,
Ikan disaut puteri;
Baik-baik berbicara,
Jangan diturut hati.

Carik-carik baju,
Sudah reput simis;
Baik-baik laku,
Usah diikut iblis.

Asyik ralit bercerita,
Mulut lepas sendawa;
Baik-baik bercinta,
Ikut batas agama.

Kait-kait rambutan,
Dahan dikepak tiga;
Baik-baik berkawan,
jangan dipijak kepala.,

Belek-belek jarum,
jalan-jalan tangan;
baik-baik senyum,
jangan makan godaan.

Sakit digigit anjing,
bawa lidi panjang;
baik-baik menjeling,
terkena bini orang.

Jahit-jahit perca,
takut carik di tepi;
baik-baik berkata,
takut terguris di hati.

kais-kais bilis,
carik jala lagi;
baik-baik memilih,
cantik tiada gigi.

Petik-petik keranji,
jangan salah musim;
Baik-baik mengaji,
jangan salah mua'lim.

Petik-petik cekur,
tangan kena damar;
baik-baik menegur,
jangan kena tampar.

cubit-cubit cucur,
jari ada luka;
baik-baik tidur,
mimpi janda lawa.

Ralit menjahit baju,
Liar bisikan hujan;
Baik-baik memandu,
Biar dengan sopan.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor,Perak.
21.2.2012 Khamis.

Wednesday, 20 February 2013

GURINDAM JANGAN LUPA


GURINDAM JANGAN LUPA

 Jangan lupa mengingati Allah,
Keimanan kita menjadi indah.

Jangan lupa berinfak sedekah,
... Hidup kita mendapat barakah.

Jangan lupa perbanyak ibadah,
Iblis menggoda tidaklah rebah.

Jangan lupa berpegang syariah,
Hukum karma adil dan saksama.

Jangan lupa perkara muamalah,
Kehidupan kita tidaklah payah.

Jangan lupa mengendong iffah,
Tunduk tiada dek nafsu serakah.

Jangan lupa memelihara lidah,
Fitnah dijaja tertutup al-Jannah.

Jangan lupa basahkan lidah,
Zikir dibaca mengingati Allah.

Jangan lupa menjauhi rasuah,
Amalan riba dosa melimpah.

Jangan lupa akan sejadah,
Solat yang lima itu ibadah

Jangan lupa kita bermuhasabah,
Hitam di jiwa segeralah dibedah.

Jangan lupa sikap berubah,
Jauhi segera sifat mazmumah.

Jangan lupa menyirna amarah,
Jiwa terluka dek duri bersepah.

Jangan lupa mendakap amanah,
Menghiasi jiwa dengan zikrullah.

Jangan lupa jambatan mahabbah,
Silaturahim dijaga tidak terbelah.

Jangan lupa manusia ke tanah,
Nesan di pusara akan ditempah.

Walahu’alam.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor,Perak.
20.2.2012,Rabu.
Jam 5.30 petang.

Tuesday, 19 February 2013

SYAIR MELAYU PERKASA


SYAIR MELAYU PERKASA

 Aduhai bangsa nama Melayu,
Syair kukarang ingin merayu,
Singkir persepsi bangsa layu,
Janganlah diam seperti kayu.
...
Melayu perkasa seindah nama,
Realitinya kita pincang wirama,
Mutiara bangsa harus bergema,
Sayugia Melayu gagah ternama.

Nadi berdenyut darah pahlawan,
Semangat Si Tuah lima sekawan,
Tak hilang di dunia itulah impian,
Banyakkan lagi Melayu jutawan.

Melayu sejati menjaga budaya,
Warisan pusaka amatlah kaya,
Usahlah kita mudah terpedaya,
Akhirnya bangsa tidak berdaya.

Seindah nama Melayu perkasa,
Di bumi watan empunya kuasa,
Nama Melayu sepatutnya sasa,
Seagung namamu secantik tiara.

Bangsa Melayu hendaklah bersatu,
Jalan harmoni usahlah mengerutu,
Arah dituju ke landasan yang satu,
Bangsaku berjaya membuka pintu.

Cubalah lihat nasib bangsaku,
Perlu dipimpin perlu dipangku,
Terlalu dimanja Melayu kaku,
Tentulah kita sedia mengaku,

Melayu perkasa empunya negara,
Bumi merdeka budaya terpelihara,
Harmoni bangsa rakyat sejahtera,
Sama-sama kita menjaga mutiara.

Bangsa sendiri memasang jerat,
Dulang harmoni menjadi karat,
Tegal dengki barahnya melarat,
Jambatan ukhwah sudah dikerat.

Janji Melayu selalu dipersenda,
Usahlah dibuka pekung di dada,
Persepsi begini menyebak dada,
Hendak bergurau berpada-pada.

Alkisah pula remaja Melayu,
Kalau dilihat bertambah sayu,
Gara-gara dadah mereka layu,
Mata berair bertambah kuyu.

Ayuhlah kita sederap ke depan,
Sudah lama mengayuh sampan,
Cahaya kabur belum berkelipan,
Seragam nada bak kaki lelipan.

Cukuplah dahulu syair kucipta,
Melayu perkasa kususun kekata,
Moga bangsaku membuka mata,
Kecacatan diperbaiki kata dikota.

“SYAIR PUSAKA BANGSA”

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor, Perak
18.2.2013(Isnin),
Jam 11.40 malam.

GURINDAM CARILAH


GURINDAM CARILAH

 Carilah jalan cerlang di hadapan,
Cahaya berkelipan kemilau intan.

Carilah ilmu penyuluh haluan.
... Tidak kelabu di masa hadapan.

Carilah rezeki yang halal dimakan,
Hidup diberkati ada keberkatan.

Carilah jodoh insan yang beriman,
Tidak keloloh menjaga kesantunan.

Carilah bekalan di akhirat nanti,
Hanya amalan membenteng diri.

Carilah sahabat sehidup semati,
Hubungan erat masalah dikongsi.

Carilah mu’alim menimba ilmu,
Di serata mukim banyaklah guru.

Carilah peluang meraih laba,
Jangan hilang integriti mulia.

Carilah pemimpin adil saksama.
Biarlah bermain disiplin agama.

Carilah harta rajin berusaha,
Jikalau terleka makinlah papa.

Carilah calon berkenan di hati,
Watak berlakon akan dibenci.

Carilah rahsia penawar sanubari,
Pergilah musolla belajar mengaji.

Carilah kawan menangis bersama,
Jauhilah teman prejudis wasangka.

Carilah amalan mendakap pahala,
Sebagai bekalan dibawa ke sana.

Carilah ketenangan di dalam jiwa,
Penuh ketakwaan pada yang Esa.

Carilah cinta di halaman kasih,
Indah agama keimanan jernih.

Carilah mutiara menggali usaha,
Menadah doa kudrat diperkuda.

Carilah pahala menyirna dosa,
Susah di dunia bahagia di sana.

Carilah cahaya keimanan di jiwa,
Menadah doa keampunan dipinta.

Carilah kekasih menawan sukma,
Lidah bertasbih kemlau imannya.

Carilah kunci menghadapi mati,
Usia yang berlari pusara menanti.

Wallahu’alam.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor, Perak DR
18.2.2013,Isnin,
Jam 3.00 petang

GURINDAM BEBAS


GURINDAM BEBAS

 Bebas bergerak sesuka-hati,
Bumi dipijak rakyat harmoni.

Bebas bertindak ada batasan,
... Harus bijak mengurut fikiran.

Bebas berfikir minda berputar,
Hidup dikelir senang dan sukar.

Bebas beragama pegangan hidup,
Rakyat sejahtera harmoni diraup.

Bebas laku sandiwara di dunia,
Pesanan ibu mutiara berharga.

Bebas bergaul lelaki perempuan,
Pinggang dirangkul budaya syaitan.

Bebas berpolitik perlulah cantik,
Permainan molek berakal cerdik.

Bebas beribadat di bumi watan,
Rumah ibadat dijaga kemuliaan.

Bebas bekerja mencari rezeki,
Berkat usaha halal yang dicari.

Bebas belajar menuntut ilmu,
Menjadi pintar masa bermutu.

Bebas bercakap jangan tersasar,
Janganlah biadap perangai kasar.

Bebas berjalan selesaikan urusan,
Dengan pelanggan perlu bersopan.

Bebas bermain gajet di tangan,
Inilah pemimpin masa hadapan.

Bebas berharta berganda-ganda,
Rasuah diriba bergelumang dosa.

Bebas berlibur hingga ke pagi,
Solatnya lebur arak yang dicari.

Bebas bercinta dambaan rasa,
Allah yang Esa kasih selamanya.

Bebas mengaji ilmu akhirat,
Seruan mati semakin dekat.

Bebas berfikir mindamu waras,
Izrail memanggil terhenti nafas.

Wallahu’alam.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor,Perak.
16.2.2013, Sabtu,
Jam 10.30 malam.

GURINDAM DIAM


GURINDAM DIAM
Diam ubi di dalamnya berisi,
Ilmu berseri merunduk diri.

Diam bercakap tidaklah silap,
... Kata diucap bagai perangkap.

Diam bersanding teruna dan dara,
Sama menjeling di pelamin bahagia.

Diam mendengar cuba memahami,
Mua’lim mengajar di kelas mengaji.

Diam terlelap dilamun mimpi,
Bangun sekejap bertahajud lagi.

Diam berfikir mencari jalan,
Minda cair tiada kesilapan.

Diam bersedih gundah gulana,
Kalbu merintih kecewa bercinta.

Diam termenung mengenang nasib,
Masalah yang diusung hiba dikutip.

Diam membaca menjamah ilmu,
Intan permata sangat bermutu.

Diam merajuk cepatlah pujuk,
Kasih dipeluk menjadi busuk.

Diam membisu seribu bahasa,
Mungkin tak tahu butir bicara.

Diam menjegil tanda amarah,
Bersikap degil ingkar perintah.

Diam melihat cuba menghayati,
Dalam cermat sesuatu dipelajari.

Diam sembunyi musuh negara,
Umpama duri di dalam telaga.

Diam pelajar guru menerang,
Ilmu menjalar diulang-ulang.

Diam musuh di dalam selimut,
Baik disuluh sebelum terjerut.

Diam bermuhasabah melihat diri,
Carik sejadah ditampung kembali.

Diam jasad tidak bernyawa,
Semakin dekat mati pastinya.

Wallahu’alam.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor,Perak.
17.2.2013, Ahad,
Jam 9.30 malam.