Showing posts with label Frh Edd. Show all posts
Showing posts with label Frh Edd. Show all posts

Friday, 23 December 2011

PULANGKAN

andai dulu pernah kau curi hatiku
pulangkan
kerana hati ini telah kau persiakan

andai dulu pernah kau rampas cinta ini
pulangkan
biar cinta itu bersemi di sini

andai dulu pernah kau kongsi rindu
pulangkan
agar rindu itu satu
akan aku kirimkan rinduku
walau hanya berbisik pada bayu
andai getar hatiku
menyebut namamu.....

Thursday, 22 December 2011

BODOHKAH AKU

bodohkah aku
menjadi seperti pungguk
atau dungukah akalku
hingga tidak tahu apa itu bulan

akalku atau apa yang berkuasa
tersungkur aku di sudut itu
tidak bersambut
longlai terkulai

aku meraba mencari tongkat
biarpun bukan sakti
tapi biarlah dapat aku berpegang

kerana bodohkah aku
tetap di sini
hingga membiarkan dipanah
darah mengalir tidak aku sedari
atau kebodohanku ini
adalah pelengkap kepada satu kebijaksanaan

.......akubayu061211@1945......

Thursday, 8 December 2011

tamu hati

berkali rasa itu menyapa
berkali juga bening di hati menghimpit
tidak tertumpah lagi
bertakung dan berkaca saja

apakah sudah menjadi batu
atau kerasnya seumpama apa
tidak jua keinsafan bertamu
dan kekal di sudut sepi

aku terlalu inginkan
agar tamu itu kekal di sini
hidupku bukanlah kekal
kepadanya juga aku abadi

-----akubayu 021211-----

Cinta dan teman

tidak perlu mencari cinta
andai sekadar untuk mengisi kesepian
tidak perlu berteman
andai sekadar untuk mengusir sunyi
kerna nanti mungkin hanya sepi dan sunyi
yang kamu dapat....

carilah cinta dan teman yang bisa
menjadikan kamu menjadi lebih baik
bersedia di sisi kamu di saat susah mahupun senang
itu teman sejati,
yang hadir bersama cinta tulus...

Saturday, 12 November 2011

~Jalan impian~`

aku hanya berbaring
kemudian aku mula merangkak
perlahan-lahan aku bertatih
dengan penuh semangat aku teruskan melangkah
dengan rasa cekal aku berlari

terkadang aku jatuh
tersadung kaki
atau mata kurang tumpuan
terasa sakit dan perit
luka itu mungkin berdarah
tapi yang pasti meninggalkan parut

di saat aku lelah
aku berhenti
aku toleh ke belakang
menyoroti laluan tadi
sudah jauh rupanya
tanpa sedar taman dan belukar telah kulewati
bunga telah kupetik
onak dan duri telah kutempuh

jejak itu aku tinggalkan
yang aku bawa segunung harapan
aku pandang ke hadapan
masih sayup destinasi itu

aku kumpul semula kekuatan
aku bangkitkan segala semangat
agar dapat aku bawa berlari harapan itu

mungkin masih ada taman di hadapan sana
atau mungkin jalan itu nanti penuh liku
siangku bertemankan mentari
malamku bertemankan bulan
panasku dipayungi awan
kemarauku dibasahi hujan...