Showing posts with label Sri Mawar. Show all posts
Showing posts with label Sri Mawar. Show all posts

Sunday, 3 March 2013

JEJAK WAKTU

JEJAK WAKTU

Kelmarin
kita meninggalkan jejak waktu
lalu melupakan tiap detik yang berlalu
kerana tiap saat yang mendatang
bagai berlari masa
dikejar seribu satu persoalan.

Hari ini
kita meniti detik bersisa
lalu meraih segala kesempatan
kerana harapan yang dijulang
bagai tidak terkata
di alpa sejuta keasyikan dunia.

Esok
kita meninggalkan tiap kenangan
menatang jelang ketentuan
hidup dan mati
belum bisa melunas janji
kerana segala sesuatu
berada dalam ketentuan Ilahi

Kita yang datang
dan melangkah pergi
adalah kita yang tersendiri.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
1 Mac 2013
12.16am

Monday, 25 February 2013

YANG DATANG DAN PERGI


YANG DATANG DAN PERGI

Yang datang
menjanjikan mentari terang
tanpa mendung hitam
... dan gerimis mengundang.

Yang pergi
melenyapkan segala kepalsuan
tanpa putihnya awan
dan biru di langit impian

Kita ini bagai pelarian
mengharapkan gemerlapnya bintang
dan sinar di bulan mengambang
namun hijaunya dedaunan
adalah kelayuan
pada tunjang kebenaran.

Sedarlah dari lena yang panjang
hidup yang sementara
biar bercahaya
menerajui persada
dan suburnya kita
menjadi penaung bertumpang teduh.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak

Thursday, 7 February 2013

JENDELA MATA


JENDELA MATA

Kita tetap serupa
sentiasa memandang di luar jendela
meneliti peristiwa
... melangkaui luar diri
lalu lupa untuk bercermin
bagi merapikan diri sendiri.

Ada apa pada cinta
kalau hanya mainan perasaan
melekakan tumpuan
sedang hidup ini makin memaksa
untuk kita telusuri sejuta hakiki.

SRI MAWAR
Kuala Kurau,
Perak
12 MAC 2012

Thursday, 24 January 2013

TERBUANG LALU



TERBUANG LALU

Panji tersandar mengadap jeti
bantai bertingkat di atas para
janji sekadar penyedap hati
sebagai pengikat rindu asmara.

Pantai Selangat sedia berpalang
titi tenggelam di laut dalam
andai tergugat setia terhalang
pasti karam merindu dendam.

Mentera tersurat di tempat bara
ubat seliuh tangan dan kaki
air mata pengubat lara
tempat terseduh runtunan hati.

Air halia berkeledak hama
rotan berbelang di hutan ara
bila bahagia tidak menjelma
bagaikan berenang di lautan sengsara.

Berkarat roda mengusung guri
kotak sarat merata menghadang
berat derita tanggung sendiri
tidak seberat mata memandang.

Tampi usang terletak laci
ikan keli berarus di titi
mimpi terbuang diolak benci
bagaikan tali diputus belati.

Kotak terperap geliga sakti
pala berduri dipancang alu
tidak kuharap bahagia sejati
bila diri terbuang lalu.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
23 Jan 2013
2.55 pm

Tuesday, 22 January 2013

AKU ORANG TERBUANG


AKU ORANG TERBUANG

Aku orang terbuang
di lembah duka mengayam luka
terlupa masa indah
... tenggelam dalam gundah
menyelam mencari mutiara
kalau bisa merantai setia.

Aku orang terbuang
layu sebelum berkembang
kuncup sengsara makin berputik
detik silam makin mencarik
duri-duri hampa
makin menikam dada.

Aku orang terbuang
mencari sinar mentari
di mana bilah pelangi
suram alam berarak kelabu
gerimis lelah menyiram debu
pohon kasih semakin punah
akar cinta makin terbungkah
dan rindu asmara kian goyah.

Aku orang terbuang
bila ada kuntuman mekar
yang ingin engkau belai
tercium harum di sukmamu
mengintai lerai debunga masa
di jambangan hati serinya menyerlah
lalu hiasan kamarmu yang dulu
akan engkau campak di hujung kaki.

SRI MAWAR
Kuala Kurau .
Perak.
23 jan 2013
12.04 am

Monday, 21 January 2013

KUKUBURKAN SEBUAH HARAPAN


KUKUBURKAN SEBUAH HARAPAN

Saat kurenung kocak air di kali
tak kulihat lagi bulan bercahaya
bayangku seakan sirna
... yang terlihat hanyalah biasan masa silam
berlari detik menghimbau kenangan
tentang peritnya hidup
dan kusut masai pengalaman.
namun aku bahagia
di situ ada cinta.

Aku kian merenung
tak kulihat lagi bulan bintang
mengerdip di dada malam
pilu suasana
airmata bagaikan bercerita
tentang harga diri
mencari identiti
kehilangan puisi.

Salahkah masa
menjerut pada sebuah keinginan
melakar mimpi
berbicara tentang khayalan
mendabik cita
lalu aku kehilangan asa
dirobek cemburu berbisa.

Malam ini
kukuburkan sebuah harapan
nisan petanda
aku yang hilang
di bawah mega mendung
mengadah langit
menjejak bumi
biar tak lagi tersadung
bimbang tersungkur di kaki sengsara.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
21 Jan 2013
11.40pm

Saturday, 19 January 2013

DIRUNGKAI MASA

Tak pernah terlupakan
andai ada resap rasa dari keluh simpati
kerana kita tetap punya jiwa
ingin memesrai suasana dulu
tapi bila kehidupan menjadi lain
tak satu pun dapat dititip.

Dan kita pun menyimpan kenangan
aksara yang terbait
kukutip mesra bicara
merangkai kehalusan jiwa
menerajui ingatan
menjadi pedoman.

Engkau tetap yang dulu
satu keunggulan
dan damaiku
tetap tersandar di bahumu
biarpun kini
tidak lagi ada sapaan
dan jabat tangan kita
bagai dirungkai masa.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
17 Jan 2013
3.20pm

TERIMA KASIH.

Isi durian di dalam raga
keladi kemahang dibuat pengat
setiap pemberian amat berharga
budi dikenang jasa diingat.

Kereta berselisih berwarna –warni
ada duri di bawah titi
bila bersih hati nurani
segala budi dibawa mati.

Sarat di rumah gendang hadrah
nasib terkukur singa menyerang
adat menerima sebarang hadiah
wajib bersyukur budinya orang.

Isi kanji di dalam guri
telok dan sungai dawai dipancang
bila berjanji untuk memberi
elok di tunai bagai terancang

bersama selasih wajik disuap
kendi suasa berisi geliga
terima kasih wajib diucap
budi bahasa menjadi harga

kurang berseri kereta lama
belida di lembah tersula lidi
orang memberi kita menerima
tanda ukhuwah mulianya budi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
19.Jan 2013

KALAULAH KALAU.

Kalau ikan terjaring di Linggu
alur berpusing di Sungai Baru
kalau fikiran sering terganggu
telanjur rungsing jiwa celaru.

Kalau hendak libur di desa
tersepak kerusi di simpan dahulu
kalau onak menghembur bisa
telapak kaki menyimpan nyilu.

Kalau dangkal di pinggir lautan
nanti menapak saja di titi
kalau akal seiring perbuatan
pasti tidak beraja di hati.

Kalau tetamu melipat setokin
baju hujan bersama kebaya
kalau ilmu sedapat mungkin
tentu kemajuan membawa jaya.

kalau jodoh bakal menunggu
hari indah menginjak terang
kalau bodoh berakal dungu
pasti mudah dipijak orang.

Kalau si pakar menjahit kulit
kasut selipar sepasang di laci
kalau pintar memutar belit
mulut celupar orang pun benci.

kalau susu basi di laman
ukiran terpahat halus suasa
kalau nafsu mengatasi iman
perbuatan jahat menjurus dosa.

Kalau mengemudi di bawah titi
lama berehat di pinggir taman
kalau budi dibawa mati
nama terpahat ke akhir zaman.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
16 Jan 2013
8.26 am

KERANAMU TANAHAIR.

Bunga rafflesia di Kampung Duku
menyambar helang tertambat angsa
keranamu Malaysia tanah airku
akan kujulang martabat bangsa.

Angin nyaman berhembus di timur
waktu pulang membeli donat
negara aman rakyat makmur
jangan petualang berhati khianat

Buah kiwi tambah perisa
patah dahan pohonan ara
demi pertiwi bangsa dan nusa
teguh pertahan musuh negara.

Membaca syair nafas dihela
bila tersiar terdengar suara
tanah air tanah terbela
jangan dibiar dihuru –hara.

Roboh para pasak kedangsa
kasut terendam di dalam timba
penceroboh bangsa merosak negara
menghasut dendam mengadu domba.

Pohon selasih di tepi beranda
samar senja di lautan segara
andai kasih tanah ibunda
sama menjaga kedaulatan negara

Tekat sutera di rumah teman
sari lusuh sulaman lembut
rakyat sejahtera negara aman
hindari musuh dalam selimut.

Pucat lesi tiada berbaju
sergah angsa di bawah roda
generasi berkembang negara maju
indah bangsa megah di persada.

Gula dan nira di bawah tudung
guni kasa terikat pegaga
bila negara menjadi pelindung
harmoni bangsa rakyat terjaga.

Kari gelama membuka selera
Wangi kukusan ‘tepong pelita’
mari bersama kita perlihara
sayangi warisan negara tercinta.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
5 Jan 2013
12.51 am

Friday, 18 January 2013

WATAK BERCELARU (2)

Giling rempah bercampur lada
ikan puyu masih di joran
bila iman kurang di dada
akal dungu merosak fikiran.

Kanak-kanak bermain guli
katak terkebil di bawah guri
bodoh sombong tiada peduli
jebak nafsu merosakkan diri.

Petik sebiji buah kelapa
keladi birah di pinggir hutan
bila khayal, asyik dan lupa
bebal diri menjadi turutan.

Gadis berhias cantik berseri
wajah ayu senyum sentiasa
kuasa dan tamak pegangan diri
tiadalah budi membuat jasa.

Ambil cermin di dalam laci
lihat biasan wajah membayang
orang berkasih awak membenci
tiadalah sifat berkasih sayang.

Pergi mendaki si Gunung Daik
untuk mencari seekor angsa
celaru fikiran memilih baik
hingga merosak budaya dan bangsa.

Lihat ayam memagut tanah
riuh mematuk adunan kenyal
jangan terjebak dadah pemusnah
generasi punah di alam khayal.

Duduk tersandar di pohon jati
gelap alam terasa pitam
bila haloba menguasai hati
sanggup menjadi keldai hitam.

Terbang tinggi burung kenari
hinggap seekor di pohon sena
bila penyesalan menguasai diri
sesal kemudian tiada berguna.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
3 Jan 2012
6.28 pm

AZAM TAHUN BARU

Tanam tebu di tepi bibir
itulah pepatah orang dahulu
bila tirai malam menyingkap tabir
serlahlah hari di tahun Baru.

Duduk bersimpuh bersopan santun
lembut bahasa laksana sendi
di hari pertama kita berpantun
menyambung ukhuwah menyemai budi.

Burung kedidi di pohon sena
diatang pokok memagut ulat
dalam berpantun mengukir makna
mencari erti dalam tersurat.

Dingin nyaman angin menderu
air berkocak di dalami telaga
tahun baru azam pun baru
azam yang lama teruskan juga.

Terang cuaca disinari bulan
pancing di ambil mengail ikan
buruk baik segala amalan
haloba dan fitnah elok hindarkan.

Gelang emas cincin suasa
indah di canai tiada tara
mengenang budi menilik rasa
barulah hidup aman sejahtera.

Betik di jeruk buat manisan
bakat mengukir Allah kurnia
simpulan bahasa ada berpesan
tidakkkan Melayu hilang di dunia.

Pergi majlis mengikut resam
siap dihidang nasi dan laksa
di tahun baru sama berazam
menjaga negara menyayangi bangsa.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak.
1 Jan 2013
8.14am

Tuesday, 27 December 2011

MIMPI YANG RETAK

Andai mimpiku retak seribu di ujung jalan
kukutip serpihan cinta yang melukai hati
biar kuhumban semua lara di perigi memori
gemulai rindu kupatahkan rantingnya di ujung usia
tak ada lagi tunas kasih yang memekar seri
kuncup harapan biar layu tak berbunga.

Aku telah leraikan kelopak mimpi di ujung malam
bila harapan untuk berseri dilayu mentari siang
biar bekasnya tak lagi bersisa mengisi kenangan
tanduslah jiwa tanpa rasa yang menggetarkan'.

Pergilah kecamuk rindu yang pernah mengharu
bila terjaga dalam ilusi yang memualkan
tak ada lagi sesak gelora yang mendebarkan sukma
andai tatap matamu tak lagi menyapa igauanku
lenaku tak lagi diulit fantasi berlagu.

Friday, 23 December 2011

DI SUDUT KAMAR HATI

Telah hanguskan rasa cinta di kamar hatimu
bila yang tinggal hanya debu-debu masa lalu
puing -puing rindu menjadi abu yang bertebaran
dipuput angin lalu yang melenyapkan semua mimpi

Di mana kini segala harapan yang menghuni
bila kukuh impian menjadi rebah d ipenjuru duka
kenangan pun kau lenyapkan di pusara tak berkuburan
lalu kau lenyap dalam diri dan peribadi sendiri

Kenapa sayang...
kenapa harus melenyapkan semua titik kenangan
telah hilangkan rasa rindu yang menggoda rasa
telah punahkah rasa cintamu yang pernah bergelora
kemana dia yang pernah kau cintai dulu
tidak ada lagikah rasa cintamu yang membiru.

Andai kau tak ingin lagi mencumbu impian
menetap titk noktah pada pencarian kini
jadilah insan yang murni setenang mungkin
tak perlu kesal pada titik pertemuan
kerna rasa cinta dan rindu dendam
adalah laksana bayang-bayang di sebalik nyata.

OMBAK RINDU

Masih terasa dinginnya sepoi angin selatan
mengirai rambutku dihujung senja yang berbalam
mentari jingga menjadi saksi bisu pada lingkaran rasa
andai rindu kita dilambung ombak gelisah yang sendu
ada jejak yang masih kau tinggalkan di lereng hati
masih mampukah ku iringi bekas telapak kakimu mencari mimpi
bila tersedar dari sasar cinta ternyata kau tiada.

Lalu pada bayu senja kutitip segala pesan
salam kasihku biar berbekas di sudut hatimu
andai aku telah tiada lagi bercumbu dengan waktu
kita pun makin terasing melamun dengan bayangan
dan kita pun makin jauh mengorak langkah terpisah.

Thursday, 22 December 2011

BICARA TENTANG CINTA

Bila suara hatimu membisik sayang
tentang rindu dan mimpi kasih yang mengharu
perlukah lagi sembunyikan cinta
bila ikat janji telah terpatri
membina bahtera impian
di lautan kasih hatimu berbisik
pada ombak rindu yang berbusa rasa.

Andai jurang duri memagari segala
pada benteng takdir yang terlerai kini
mimpikan saja hasrat hati di angin lalu
menjadi igauan yang menyeri lena tidurmu
kita pun menjaring mentari pagi dengan senyum
meredhai segala aturan hidup dengan penuh rela
andai cinta tetap ada antara tiada
lalu jingga cinta kita songsong ke malam kelam
mengulangi impian kala purnama masih merindu.

Sunday, 11 December 2011

ENGKAU TAK PERNAH TAHU

Engkau takkan pernah tahu
apa ada dalam dadaku
engkau takkan pernah mengerti
siapa aku dalam hatinya
tak pernah ada kasih sejati
yang ada cuma sengketa menguji
dendam dan nista bagaikan api.

engkau takkan pernah tahu
kasihku tulus bak saudara
hatiku tak pernah curiga
ku tak pernah berbohong
dalam dada ada simpati
bila dukanya menghiris hati.

Tapi engkau takan pernah tahu
ada benci yang bersarang
ada bosan yang menerjang
walaupun sering berkata sayang
tapi benak nuraninya dapat kubayang
tak ada lagi kasih saudara
tak ada lagi rindu menyapa.

Aku dan dia
tak kan pernah sejalan
bila seringkali tak sehaluan
andai keegoaan mengatasi segala
pudarlah rindu kasih sesama
tak ada lagi canda da mesra
lalu antara aku dan dia
bukan lagi siapa -siapa.

Thursday, 8 December 2011

CINTA YANG BERLALU

Biarkan ia pergi semau hati
kau takkan mati
tanpa cinta dunia masih bererti
ragamu masih bernyawa
kuncup cinta masih berbunga
pohon kasih masih merendang
bila ada yang menjadi milikmu
siramilah selalu dengan do'a
menjadi taman syurga di Firdausi

Bila surimu begitu setia
menemanimu dengan rela
bahagiakanlah dia
bila pernah kau berjanji
dalam lafaz ikrar di ijab qabul
jadilah lelaki sejati
andai dia memberi harap
cintamu ingin digalas
setiamu takkan culas
bahgia pun takkan mungkir
biar bersemi selamanya
selalu dan sentiasa selamanya .

Wednesday, 7 December 2011

CINTA YANG HADIR

Tak pernah terduga
bila akan jatuh cinta
andai gelora membuka dada
lekalah insan memendam rasa
menjadi rindu meruntun kalbu.

Sering kali tak terjangka
cinta hadir kali kedua
tanpa meminta -minta
hadir bagaikan air mengalir
nyaman dingin bak angin mendesir.

Dapatkah diri melawan takdir
biar berlari kehulu kehilir
andai kudrat menghambat rasa
iradat pun berkata -kata
bila kembangnya bagaikan bunga
tiba masanya kan layu jua.

TANPA RASA

Kita sering tak pernah dapat menentukan pilihan sendiri
bila ketentuan nasib tertulis tetap pada suratannya azali
bila dia yang ada hanya terdiri sebagai tungak
ragamu terpelihara begitu indah dan anggun tak pernah dijebak
andai luhur hatinya mencurahkan cinta tanpa harap
begitu untung nasibmu dilonjak darjat yang bertahap
bila cinta mewarna hidupmu dengan redha dan tolak ansur
demi kasihnya yang iklas tak pernah ada sudut tepinya
pada ruang hatimu yang kosong tak berisi .

Dia pun merelakan andai kau punya pilihan dari yang lain
namun ada titis air mata yang tertinggal di relung hati
ada luka yang termateri dalam gulana dan sepi
begitulah rawan hati seorang yang bernama lelaki
siapa pernah tahu keluh kesah dan gundah jiwanya
bila merpati putih ingin terbang dari genggaman
menanti jiwanya lara di sibak masa depan
keharuan terbenam di pusar lara yang tertahan
andai ada belas dan sedikit rasa cinta dari ruang hatimu
renungilah pada titik korban dan hancur jiwanya menahan pilu
bila egonya tak pernah tinggi dan begitu mulia berbudi.