Thursday 17 November 2011

Manusia, manusia-manusia

kau fikir, kenapa agaknya aku berada di sini?
menjual darah pekat hitam
atau mengemis manik manik jernih
kerana hati kamu masih ada budi
dan aku sudah tiada pekerti?
maka senang untuk kamu memberi
menghentam sesuka hati
dan aku seharusnya disuruh berdiam
tadahkan saja kedua tangan
kerana kamu adalah orang suci.

aku bukanlah si pengemis
yang mengiyakan akan pemberianmu
bukan jua sang pemberontak
yang persisnya sering menggolak sisi malaikatmu
tetapi aku adalah pencarik deriamu
terbangkit bukan?
rasa ingin terbangun
menyatakan jalan mana harusku pilih
mempadukan simpati yang engkau katakan mengerti
lalu paradigmamu bereksplorasi
cuba berkolaborasi mencari klimaks.

begitulah!
aku bukan manusia durjana
yang cuba menjebakmu dalam kehinaan
sedarku akan kemanusiaan manusia
lalu kugarapkan sebuah hakikat
tidak ingin meraih apa-apa
sekadar menjadi manusia
yang membuat salah seperti mana kau pernah
yang menegakkan benar apabila kau benar.

-gelap-
17-11-2011