Monday 11 February 2013

PANTUN SUAMI ISTERI

PANTUN SUAMI ISTERI

Panjang galah keranji dikait,
Halban tua kedidi menyanyi;
Sedangkan lidah lagi tergigit,
Inikan pula suami dan isteri.

Bunga cempaka berseri-seri,
Melati layu dipetik penghulu;
Asmara cinta menampi janji,
Pelangi rindu dilastik jerebu.

Salak di pangkin sebiji hilang,
Jerami padi merungkup kayu;
Hendak kahwin bininya orang,
Bini sendiri sanggup bermadu.
(kalau jodoh apa nak buat…hehe)

Sutera kembayat pakaian asing,
Berseri-seri keraplah dipandang;
Cinta karat kenangan bersanding,
Suami isteri mengharap sayang.

Melurut lalang risau kerengga,
Ke bukit indah hutan diredah;
Hidup girang bergurau-senda,
Tergigit lidah jangan amarah.

Kalau nak sampai ke pondok bilal,
Singgah kenduri masak serentak;
Kalau tak pandai menumbuk sambal,
Apatah lagi hendak memasak.

Kelubi dan keranji beralih dulang,
Bekallah bingka ke Tanjung Sena;
Suami dan isteri berkasih sayang,
Kekallah bahagia ke hujung nyawa.

Berangan-angan dayang bercelak,
Selendang labuci tebal sulaman;
Ditangan-tangan sayangkan anak,
Sayang isteri tinggal-tinggalkan.

Sumur ada menumpang mandi,
Mersawa rendah puyuh berlari,
Tidur lena ke rembang mentari,
Mentua jerkah disuruh mandi.

Di pekan roboh leka pekedai,
Letih mami membilang laba;
Takkan roboh dilanda badai,
Kasih suci menatang bahagia.

Bersama dara panglima ke hutan,
Kerabin di bahu berserakan upih;
Kota cinta bernama kebahagiaan,
Menjalin rindu di hamparan kasih.

Ke perlak janji asmara berbunga,
Nubari didamba kemilau bertatah;
Bijak memahami bahagia bersama,
Melayari bahtera ke pulau indah.

Ke bukit puaka hala ke jeram,
Di kipsiau pusaka gelamai ibu;
Bukit bahagia bisa tenggelam,
Jikalau cinta dibadai cemburu.

“PANTUN PUSAKA BANGSA”

PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor, Perak.
11.2.2013(Isnin),
Jam, 8,30 pagi.