Monday 25 February 2013

SYAIR RESMI PADI


SYAIR RESMI PADI

 Salam kuhulur tanda ingatan,
Merunduk padi jadikan intan,
Sifat mulia dalam perbuatan,
Lagak takbur tiada kelihatan.
...
Padi di tangkai tunduk berisi,
Sarat ilmunya tidak disangsi,
Resam begini perlu dikongsi,
Sudah mati namamu tak basi.

Resmi padi fitrah berguna,
Meletak diri kendiri dihina,
Walhal dia amat bijaksana,
Meninggi diri mesra disirna.

Jikalau tuan bersifat begini,
Datang pujian berguni-guni,
Rapatlah wanita mula berani,
Kerana tertarik mulia nurani.

Malang pula nasibnya padi,
Isinya hampa tidak menjadi,
Ada insan dengki bermandi,
Perangai cela menjadi-jadi.

Walau di serata kaki memijak,
Merendah diri tak hilang jejak,
Berpekerti mulia tidak terlajak ,
Sopan berbudi tidak berganjak.

Resam padi merunduk malu,
Watak begini sangatlah perlu,
Sifat budiman didakap selalu,
Di hati bongkak segera dipalu.

Setinggi gunung mencapai awan,
Usah sombong menghina kawan,
Riak dikendong tidak menawan,
Meluat dilihat kawan dan lawan.

Janganlah diturut sifatnya lalang,
Enau di belukar tinggi menjulang,
Mementingkan diri maruah hilang,
Manusia begini sangatlah malang.

Budi terbuang kerana permata,
Mudah digoda masyarakat leta,
Gadai maruah tangan meminta,
Walang kalbuku meronta-ronta.

Kalam penyair berhenti di sini,
Resmi padi haruslah diteladani,
Tamsilan mulia bak besi berani,
Sahabat di sisi amat menyakini.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor,Perak.
22.2.2013,Jumaat,
Jam 11.30 malam.