Monday 25 February 2013

SYAIR KADUK NAIK JUNJUNG.


SYAIR KADUK NAIK JUNJUNG.

 Ramainya cucu datang duduk,
Nenek berpesan perihal kaduk,
Diadun baulu di tangan senduk,
Tekun cucu mendengar tunduk.
...
Alkisah kaduk naiklah junjung,
Merasai diri seperti disanjung,
Konon hebat hidup di tanjung,
Menjalar dari hujung ke hujung.

Cerita nenek banyak tamsilan,
Pokok kaduk hanya tempelan,
Spesies liar menjadi perbualan,
Tarafnya hina disangka bulan.

Tumbuh bebas di atas tanah,
Junjung sireh rebah musnah,
Tegal kaduk punya kerenah,
Lupalah diri asalnya di tanah.

Hidup bersepah tidak dipandang,
Subur segar di hutan dan ladang,
Pabila junjung kaduk terpandang,
Mula memanjat lama bercadang.

Kaduk di junjung mula perasan,
Memanjat tinggi tanpa batasan,
Lupa dirinya menjemput alasan,
Enggan mengaku dirinya picisan.

Inilah berlaku dalam kehidupan,
Perangai buruk menyirna sopan,
Konon baik mendudu ke depan,
Rupanya sombong budi dikapan.

Apabila si kaduk lupa asalnya,
Pamer kuasa menurut katanya,
Sejarah lama amatlah hinanya,
Naik junjung tak ingat dirinya.

Siapa sangka sebelumnya akur,
Jikalau dilihat seperti bersyukur,
Suka mengangguk bagai tekukur,
Sekarang takbur tak kenal cekur.

Setelah berada di junjung tinggi,
Kaduk mulalah bersikap ranggi,
Suka memerintah mengetap gigi,
Junjung patah dirinya yang rugi.

Memang dasarnya tak sedar diri,
Pabila kendiri dah pandai berdiri,
Lupa daratan di tempatnya berlari,
Sifat beginilah yang menjadi duri,

Janganlah ada pemimpin begini,
Di hadapan orang tunjuk berani,
Menjinjing bongkak di sana-sini,
Dulu merempat dah senang kini.

Di mulut nenek berbuih sudah,
Teladan kaduk si cucu meludah,
Kita sendiri mengambil mudah,
Perbuatan begini tidaklah indah.

Di akhir cerita nenek berpesan,
Jadikan budi sebagai perhiasan,
Tamsilan kaduk moga berkesan,
Moleklah pekerti seorang insan.

Beginilah kisah perihal kaduk,
Hidup subur di tepi senduduk,
Naik junjung tidaklah tunduk,
Resam begini jangan diranduk.

Akhirul kalam beginilah syairku,
Bahasaku pincang daku mengaku,
Kendiri tak kisah jikalau tak laku,
Dek puisi lama dibugarnya berlaku.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor,Perak DR
25.2.2013, Isnin,
Jam 9.30 malam.