Monday 25 February 2013

GURINDAM HENDAKLAH


GURINDAM HENDAKLAH

 Hendaklah kita taat perintah-Nya,
Insan bertakwa tempatnya syurga.

Hendaklah kita mengimarahkan masjid,
... Berjemaah bersama pahala membukit.

Hendaklah kita mengasihi ibu bapa,
Pengorbanan mereka tidak terkira.

Hendaklah kita berbaik sangka,
Jangan suka membelai sengketa.

Hendaklah kita bersopan-santun,
Indahnya susila khalayak kerumun.

Hendaklah kita menghormati mu’alim,
Ilmu yang ditimba usahlah bermusim.

Hendaklah kita menunaikan solat,
Tiang agamanya kukuh dan kuat.

Hendaklah kita membayar zakat,
Rezeki di riba pastinya berlipat.

Hendaklah kita selalu bersedekah,
Membantu mereka dihimpit susah.

Hendaklah kita hidup muafakat,
Hidup bersama silaturahim erat.

Hendaklah kita memelihara lidah,
Tajam berbisa di nubari berdarah.

Hendaklah kita berlaku jujur,
Amanah dibaja bertunas subur.

Hendaklah kita menjaga maruah,
Arang di muka dibersihkan susah.

Hendaklah kita mengelak fitnah,
Berat dosa ke syurga dah punah.

Hendaklah kita mengumpul amalan,
Biarlah bercahaya dengan keimanan.

Hendaklah kita mengingati mati,
Bekalan ke sana semoga wangi.

Hendaklah kita bersedia dijemput,
Azab di neraka mengundang kecut.

Walahu’alam.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor,Perak.
22.2.2012,Jumaat.
Jam 4.13 petang.