Monday 25 February 2013

PANTUN PUSAKA BANGSA 2:


PANTUN PUSAKA BANGSA 2:

 Selendap rimba dedaun tua,
Di hulu Melaka setapuh layu;
Bersiap siaga pantun dibawa,
Peluru kekata penuh di saku.
...
Tebu merimbun tiada dijaga,
Lebat pelam dikaitnya amah;
Selalu berpantun kaya kekata,
Melihat alam terbitnya madah.

Dara ke kebun berkain selendang,
Lelah membaja di pangkin terlelap;
Budaya berpantun semakin hilang,
Khazanah bangsa semakin lenyap.

Sayup saujana di Jambatan Pecah,
Keluarga bercuti melepak di pekan;
Taksub mereka tinggalan penjajah,
Budaya sendiri hendak dihumban.

Melantun sepi walang nubari,
Memuji cinta dugaan kelmarin;
Pantun tradisi kurang diminati,
Puisi lama sambutannya dingin.

Di tepi rumpun kumbang menari,
Tempua terbang adik di pangkin;
Tradisi berpantun kurang diminati,
Remaja sekarang asyik bermain.

Kebun di ladang rajin disiram,
Di parit dingin hendak menjelum;
Pantun dihidang semakin suram,
Digamit dingin tidak menguntum.

Bayas di baruh daun merimbun,
Sendayan mati nampak di tanah;
Selepas luruh pantun menimbun,
Lintasan hati hendak bernoktah.

Daun terpisah tiada rimbun,
Ciak serama jumpa di rimba;
Pantun indah rima tersusun,
Enak dibaca pusaka bangsa.

Ke pasar sehari makan burger,
Dara jelita meriah bergebang;
Agar menjadi insan berkaliber,
Pusaka bangsa usah dibuang.

Mengasah bedama pusaka imam,
Pinggan bersusun lama berkurun;
Mengasah minda lama dipendam,
Dengan berpantun kata disusun.

Petani memekik kera berlari,
Kebun nangka di tepi hutan;
Budi yang baik dibawa mati,
Pantun pusaka jadi warisan.

Kain cindai pakaian nak dipakai,
Lepas ke bahu terletak labuci;
Ingin capai tangan tak sampai,
Menggalas ilmu si bijak jauhari.

Silau lampu cahaya melantun,
Aroma masakan tenggiri digulai;
Kalau selalu membaca pantun,
Lama-kelamaan menjadi pandai

Sepat benua ditahan pukat,
Dukun dipanggil memagar titi;
Dapat bersua dengan sabahat,
Pantun dinukil memugar tradisi.

Bapa ke kebun berkain londeh,
Meninjau pagar ladang kelapa;
Budaya berpantun yakin boleh,
Kalau dibugar sepanjang masa.

Di tepi pasu seroja berbunga,
Kebun mentimun dibaja sudah;
Tradisi Melayu pusaka bangsa,
Pantun dilantun askara indah.

Ke kebun cinta terpahat duri,
Sepi merungkup diratah lara;
Berpantun kita merawat sepi,
Hati yang kusut berubah ceria.

Ke pekan Satun teruja pengantin,
Bersusun sutera kepulauan Sulu;
Warisan temurun serinya terjamin,
Pantun pusaka kebanggaan Melayu.

Kebun ciku di sebelah bendang,
Di celah pula lenggapus herba;
Pantun Melayu usahlah hilang,
Khazanah bangsa harus dijaga.

“PANTUN PUSAKA BANGSA”

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor,Perak DR.
24/2/13(Ahad),
Jam 8.00 pagi.