Friday, 18 January 2013

~~Biarkan Ilham Lena Seketika~~

Malam ini ilham bagaikan terlena. Diam kaku di sebalik tirai sepi.
Menungan tidak akan menjanjikan ilham hadir menyapa.
Lalu, biarkanlah ilham beradu seketika. Kerana jika dipaksa jua,
pasti hambar. Lemah! Tidak akan menjanjikan kemanisan rasa. Tawar!
Setiap detikan hati, biarlah dari jiwa yang luhur.
Mengalir dalam alur fikir nan jujur. Minda berfikir biarlah waras.
Jangan terbabas dan terlepas, bebas meluah segala resah rasa.
Kerana yang melihat akan mencebik. Atau akan ada nan terguris rasa.
Berfikirlah dengan akal, barulah tidak dikata dangkal.
Pastikan segala ilham yang tercerna akan menjana minda,
mendidik jiwa siapa yang menatap. Pastikan puas, kala berkongsi sebuah rasa.
Di sebalik lakaran sebuah cerita. Di sebalik catatan madah biasa.
Ada mencuit rasa. Ada menggamit mesra.

Liza Isma,
2 Januari 2013/9.25pm_Rabu.