Sunday 3 March 2013

SYAIR PERIUK MENGUMPAT BELANGA.

SYAIR PERIUK MENGUMPAT BELANGA.
Kisah syair periuk dan belanga,
Kedua-duanya hitam berjelaga,
Sesama mereka selalu berlaga,
Menuding jari mengumpat juga

Hitam periuk tidak mengaku,
Belanga hitam ego terbuku,
Sama-sama mencucuk paku,
Merendah diri letak di saku.

Tidak guna asyik bersengketa,
Periuk belanga berlawan kata,
Keaiban sendiri bukalah mata,
Mengumpat keji tidak dipinta.

Bukalah minda tanpa wasangka,
Duduk bersama baik bersemuka,
Periuk dan belanga cucilah luka,
Sama bermuafakat setiap ketika.

Sesama bangsa menyimpan dengki,
Suka mengumpat karatnya berdaki,
Busuknya nubari janganlah dimiliki,
Mengalir permusuhan bersaki baki.

Periuk menganggap diri permata,
Belanga pula mengaku pendeta,
Kedua-dua mementingkan kasta,
Inilah gaya masyarakat yang leta.

Tidaklah guna mengumpat keji,
Kekata berbisa tajamnya bertaji,
Kelemahan sendiri mesti dikaji.
Usah melekat walau sawi sebiji.

Fitrah manusia sifat cemburu,
Kerana status mulalah diseru,
Kesalahan orang mula diburu,
Kehidupan kita pastilah celaru.

Periuk belanga duduk setempat,
Letak di dapur hitamnya dapat,
Tidak perlu hendak mengumpat,
Kalau bermuzakarah tentu hebat,

Periuk dan belanga cuma misalan,
Sebagai peringatan petunjuk jalan,
Perbuatan negatif usahlah ditelan,
Sifat mengumpat bukanlah amalan.

Demikian syair periuk dan belanga,.
Bahasa sasteraku tidaklah berbunga,
Kupohon kemaafan jikalau berenga,
Kerana diriku ini bukaan puijangga.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor,Perak DR
2.3.2013, Rabu,
Jam 12.00 malam.