Saturday 2 March 2013

GURINDAM MANIS


GURINDAM MANIS
Manis bercinta puspa dan arjuna,
Berkasih mesra di sanggar asmara.

Manis berilmu tidak membeku,
... Mengalir laju dihiruplah madu.

Manis bersolat khusyuk teramat,
Si iblis laknat bisikannya disekat.

Manis belajar cepat memahami,
Tajuk yang sukar dapat dikuasai.

Manis bekerja dalam keseronokan,
Satu ibadah nikmatnya kepuasan.

Manis bersedekah kerana Allah,
Berinfak sudah jangan dihebah.

Manis bersahabat sehidup semati,
Perhubungan rapat setianya di sisi.

Manis berbicara dalam senyuman,
Memelihara bahasa mesra ikatan.

Manis berjanji tidak memungkiri,
Akan dipercayai sampai ke mati.

Manis berpuisi ilham bertandang,
Khalayak menyukai mesej terang.

Manis bersaudara bergurau senda,
Harmoni dijaga tidak bersengketa.

Manis berjiran bertegur sapa,
Mesra ikatan muafakat dijaga.

Manis berbudi santun berbahasa,
Sahsiah terpuji disenangi semua.

Manis bermesyuarat bulat pendapat,
Mukanya tak kelat sewaktu berdebat.

Manis bermuzakarah selesai masalah,
Tidak bertelagah membetulkan arah.

Manis beribadat di malam pekat,
Ralit bermunajat air mata dikesat.

Manis beramal membuat kebajikan,
Pahalanya tebal dilimpahi ganjaran.

Wallahu’alam.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor, Perak DR
28.2.2013,Khamis,
Jam 8.00 malam.