Sunday 3 March 2013

JUN

JUN

Sama ada suka atau sebaliknya, Jun pasti mampir. Tidak terelakkan lagi kerana Jun datang untuk melengkapkan setahun kalendar tetapi tidak pernah menggenapi tragediku yang panjang.

Tanggal 7 Jun, aku sempurnakan kewajipanku. Dengan penuh yakin dan tawakal, tali di dermaga kuleraikan. Bahtera perlahan-lahan bergerak meninggalkan pelabuhan lalu menuju ke lautan lepas. Makin ke tengah, asakan ombak makin terasa. Kian lama tambah seru, membadai terus-terusan. Gelombang saling berantakan menghentam kiri dan kanan, atas serta bawah. Kenaikan jadi olang-oling, tidak keruan dan sudah mahu karam benar. Kemabukan rupa tidak tergambarkan lagi. Antara sedar dengan tidak, alam terasakan hilang, lenyap.

Puing bahtera berserakan di serata-rata. Segala isi kapal turut bertaburan dan hanyut disongsong alun laut. Tidak ada yang kering kerana semuanya kebasahan malah kehilangan. Rugiku tak terhitung lantaran bahteraku yang pecah itu.

Oh, Tuhan. Setiap kali 13 Jun, tawarikh itu takkan kunjung padam. Di gigi air, aku datangi dan terpaku menghadap lautan. Nun jauh di tengah-tengah, kemalanganku terkubur tanpa nisan. Talkinnya berulang-ulang tidak juga surut.