Tuesday 19 February 2013

SYAIR MELAYU PERKASA


SYAIR MELAYU PERKASA

 Aduhai bangsa nama Melayu,
Syair kukarang ingin merayu,
Singkir persepsi bangsa layu,
Janganlah diam seperti kayu.
...
Melayu perkasa seindah nama,
Realitinya kita pincang wirama,
Mutiara bangsa harus bergema,
Sayugia Melayu gagah ternama.

Nadi berdenyut darah pahlawan,
Semangat Si Tuah lima sekawan,
Tak hilang di dunia itulah impian,
Banyakkan lagi Melayu jutawan.

Melayu sejati menjaga budaya,
Warisan pusaka amatlah kaya,
Usahlah kita mudah terpedaya,
Akhirnya bangsa tidak berdaya.

Seindah nama Melayu perkasa,
Di bumi watan empunya kuasa,
Nama Melayu sepatutnya sasa,
Seagung namamu secantik tiara.

Bangsa Melayu hendaklah bersatu,
Jalan harmoni usahlah mengerutu,
Arah dituju ke landasan yang satu,
Bangsaku berjaya membuka pintu.

Cubalah lihat nasib bangsaku,
Perlu dipimpin perlu dipangku,
Terlalu dimanja Melayu kaku,
Tentulah kita sedia mengaku,

Melayu perkasa empunya negara,
Bumi merdeka budaya terpelihara,
Harmoni bangsa rakyat sejahtera,
Sama-sama kita menjaga mutiara.

Bangsa sendiri memasang jerat,
Dulang harmoni menjadi karat,
Tegal dengki barahnya melarat,
Jambatan ukhwah sudah dikerat.

Janji Melayu selalu dipersenda,
Usahlah dibuka pekung di dada,
Persepsi begini menyebak dada,
Hendak bergurau berpada-pada.

Alkisah pula remaja Melayu,
Kalau dilihat bertambah sayu,
Gara-gara dadah mereka layu,
Mata berair bertambah kuyu.

Ayuhlah kita sederap ke depan,
Sudah lama mengayuh sampan,
Cahaya kabur belum berkelipan,
Seragam nada bak kaki lelipan.

Cukuplah dahulu syair kucipta,
Melayu perkasa kususun kekata,
Moga bangsaku membuka mata,
Kecacatan diperbaiki kata dikota.

“SYAIR PUSAKA BANGSA”

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor, Perak
18.2.2013(Isnin),
Jam 11.40 malam.