Friday 8 February 2013

SYAIR BUDIMAN : MENANG SORAK.

SYAIR BUDIMAN : MENANG SORAK.

Salam syair pembuka kata,
Menang sorak kata dicipta,
Sudah sinonim bangsa kita,
Cakap berjela kerja sehasta.

Kuat bersorak bergegar alam,
Dalam nubari hanyalah kelam,
Di padang usaha tidak dilatam,
Kemilau cahaya menjadi kelam.

Jangan hanya suka bersorak,
Sedang kendiri tidak bergerak,
Darah pendekar biarlah marak,
Di mulut bising sudahpun jelak.

Empunya kuasa bukan jaminan,
Janganlah asyik dibuai lamunan,
Pusaka bangsa bukanlah mainan,
Biarlah selamat dalam simpanan

Aduhai bangsaku perlu waspada,
Janganlah mudah kita diperkuda,
Hendak bersorak berpada-pada,
Kita bukanlah di dalam keranda.

Asyik bersorak bangsa terkulai,
Membazir masa tawa mengilai,
Mulalah meluat harmoni disalai,
Cepatlah bangkit janganlah lalai.

Menang sorak tidak bermakna,
Asyik bertekak bangsa merana,
Arang di muka bangsaku dihina,
Hubungan retas mesra disirna.

Menang sorak kampung tergadai,
Kerana terpedaya menjadi keldai,
Sedang mereka bijak dan pandai,
Tidaklah bijak membezakan cindai.

Tiada guna selalu bertelingkah,
Berlagak wira suka menjerkah,
Konon pembela demi harakah,
Pohon berduri mestilah sekah.

Tidaklah salah menyanggah kata,
Jangan melimpah kata-mengata,
Tidak indah dek pandangan mata,
Kemilaunya kusam intan permata.

Satu kampung hiduplah sepakat,
Di dada pekung jangan melekat,
Usah bangsaku gunakan tongkat,
Mendisiplinkan diri biarlah ketat.

Mindaku menari pincang irama,
Syair untuk renungan bersama,
Bingkisan hamba sebesar hama,
Tidaklah indah bahasa bergema.

“SYAIR PUSAKA BANGSA”

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor, Pera
6.2.2013(Rabu),
Jam, 9.00 malam.