Saturday 16 February 2013

SYAIR BUDIMAN : GENERASI BERETIKA.


SYAIR BUDIMAN : GENERASI BERETIKA.

 Wahai generasiku ambil ingatan,
Syair pesanan jadikanlah intan;
Biar beretika dalam perbuatan,
Melanggar susila bukan anutan.
...
Generasi beretika berbudi tinggi,
Ramahnya mulut tidaklah ranggi,
Sahsiah harum seindah setanggi,
Bermotivasi tinggi hatinya wangi.

Menjaga integriti dalam tindakan,
Masih tersenyum walau tertekan,
Tidak berkata yang bukan-bukan,
Hanya pelanggan itu diutamakan.

Ledakan teknologi memagut minda,
Tidak menyahut ruginya berganda,
Warga bestari ternampaklah tanda,
Lelulur sanubari janganlah bernoda.

Zaman sekarang penuh mencabar,
Ibu bapa di rumah berdebar-debar,
Budaya hedonistik makin tersebar,
Lunturnya pekerti semua tercabar.

Minda cerlang generasi gemilang,
Keindahan budi janganlah hilang,
Didakap setia negara cemerlang,
Janganlah ada berwatak dalang.

Generasi berhemah tidak melatah,
Undang-undang jangan dibantah,
Kepincangan budi jangan diratah,
Kerana nusa semangat tak patah.

Perlulah bersaing menuju mercu,
Generasi wawasan petiklah picu,
Ketika berbahasa janganlah ricu,
Perkasa bangsaku bukanlah lucu.

Duduk diam menganyam muafakat,
Beraneka bangsa tak kira pangkat,
Menjaga sahsiah di nubari melekat,
Menjunjung kasih raja dan kerabat.

Generasi beretika pewaris negara,
Tenaga muda semangat membara,
Genggamlah arang tinggallah bara,
Tugasan anda sangatlah berharga.

Soal etika janganlah dipermudah,
Menjadi intipati perpaduan indah,
Lupakan saja perkara yang sudah,
Semuanya terletak ucapan di lidah.

Karangan syairku cukuplah di sini,
Aduhai generasiku mestilah berani,
Ambillah peringatan teguranku ini,
Negaraku tenteram dahulu dan kini.

“SYAIR PUSAKA BANGSA”

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor, Perak
14.2.2013(Khamis),
Jam 10.50 malam.