Friday 8 February 2013

PANTUN TENTANG HATI


  • PANTUN TENTANG HATI

    Pinggan dilurut hendak dibeli,
    Merenung mata berkaca-kaca;
    Jangan diturut kehendak hati,
    Menanggung siksa jiwa melara.

    Jurai rerambu selendang bonda,
    Labuh ke kaki melatam halaman;
    Bagaikan lampu terang menyala,
    Menyuluh hati dalam kegelapan.

    Kering lenggundi dilurut abang,
    Upih dibuang ke hutan rambai;
    Sekeping hati meraut sayang,
    Kasih ditatang jangan terlerai.

    Kelapa bali dipilih peladang,
    Rambai mati di perlak puteri;
    Ke mana pergi disisih orang,
    Seandai keji mengoyak budi.

    Membelah betik setelah layu,
    Kendi di anjung direbut orang;
    Begitulah cantik tingkah laku,
    Budi dijunjung disebut orang.

    Tepi sempadan meracik tekukur,
    Lantas ke paya mengetuk tuba;
    Nubari tertawan dijentik takbur,
    Terlepas bicara dirasuk haloba.

    Sabut dibuang di tepi perigi,
    Kupadam bara di tepi dapur;
    Takut sayang menjadi benci,
    Kugenggam setia di hati luhur.

    Cermai tersepit berkumpul kera,
    Herba kembiri permainan puyuh;
    Pelbagai penyakit menyusul tiba,
    Andainya di hati keimanan rapuh.

    Pokok kantan tidak berduri,
    Bunga cantik merah mencelah:
    Rajuk perasaan sebak di hati,
    Hiba dirawit melimpah gundah.

    Tebang pisang di celah pinang,
    Sebiji nam nam letak di anjung;
    Siang diulang salah yang sama,
    Hati yang hitam tidak diuntung.

    Di teluk batik airnya tenang,
    Waktu petang duduk di jeti;
    Rajuk adik hiba mendatang,
    Kalbu sedang diranduk sepi.

    Berlari sintar ke bukit mercu,
    Halia rendah belukar di perigi;
    Nubari bergetar digamit rindu,
    Nostalgia indah segar memori.

    Sedondon pakaian putih berseri,
    Bercapal kadi gembira pasangan;
    Dipohon keampunan kepada Ilahi,
    Segumpal hati warna kehidupan.

    Lipat-lipatlah pucuk pegaga,
    Makan nasi habislah kerabu;
    Cepat-cepatlah pujuk si dia,
    Makan hati terguris di kalbu.

    Berseri melati di dalam raga,
    Puteri jelita ke ladang rata;
    Hati sendiri membekam rasa,
    Demi si dia kujulang sayang.

    "PANTUN PUSAKA BANGSA"

    Ilham rasa,
    PAUZI MOHD ISA,
    SMJK Choong Hua,
    35500 Bidor,Perak DR.
    8.2.2013,Jumaat.
    Jam 5.30 petang.