Monday 11 February 2013

PANTUN KASIH SUAMI

  • PANTUN KASIH SUAMI

    Merintih puteri sedih dan sepi,
    Sebak membekam hati berbirat;
    Kasih suami kasih nan sejati,
    Tidakkan padam selagi hayat.

    Bunga melati di taman sena,
    Indah dijaga pakatlah cari;
    Setia suami jangan curiga,
    Belahlah dada siatlah hati.

    Berseri selasih di tepi perigi,
    Berjalan puyuh antara kantan;
    Suami pengasih isteri mithali,
    Ikatan kukuh cinta berkekalan.

    Wangi aroma bunga cempaka,
    Puteri Kemboja diarah ke taman;
    Suami laksana nakhoda bahtera,
    Kemudi keluarga di tengah lautan.

    Makan bingka duduk di meja,
    Dadih laici nak diratah segar;
    Sekian lama hidup bersama,
    Kasih suami tak pernah pudar.

    Balang jamu bertindih-tindih,
    Girang puteri meratah sahaja;
    Ladang rindu membenih kasih,
    Pulang suami membuah cinta,

    Makan di balai letih bekerja,
    Rapatkan meja biniku hidang;
    Jangan direlai kasih nan setia,
    Ikatkan cinta suamiku sayang.

    Rebanlah titi jentera membelah,
    Emak ke paya ati-ati bertindih;
    Janganlah suami cinta terbelah,
    Tidak kurela berkongsi kasih.

    Wira perkasa bakal menteri,
    Seminggu hilang turun berlatih;
    Istana cinta kekal nan abadi,
    Suamiku sayang meranum kasih.

    Bertelut panglima bersaksi janji,
    Wiraku gagah disisip pedang;
    Kemelut tiba suamiku di sisi,
    Jiwaku gelisah dibisik sayang.

    Perigi buta risaulah ayahanda,
    Mainan adinda pulang menantu;
    Suami kucinta engkaulah wira,
    Tampan bergaya kusayang selalu.

    Pegaga bertindih di tepi padang,
    Kuraup selut kusingkap baju;
    Dahaga kasih suami tersayang,
    Kulurut-lurut kusuap rindu.

    Bencimu tegar hatiku walang,
    Kukucup jerih menojah kata;
    Cintamu mekar suamiku sayang,
    Kuraup kasih berpisah tiada.

    Mentari beralih pagi menjelang,
    Hutan di baruh kabur saujana;
    Suami pengasih lagi penyayang,
    Ikatan kukuh penyubur asmara.

    Merintih puteri di ranjang masa,
    Kucari cinta merungkup di hati;
    Kasih suami bertunjangkan cinta,
    Kujanji setia sehidup semati.

    Di saku dayang bertemu permata,
    Wijaya bandar bawa ke Tapah;
    Suamiku sayang rindu adinda,
    Hanya sebentar kita berpisah.

    Mengalih jerami di tengah bendang,
    Antara tenggala haruan berkejaran;
    Kasihnya suami menumpah sayang,
    Keluarga bahagia aman berkekalan.

    Dulang di meja cempaka biru,
    Digilap puteri permata berseni;
    Hilang di mata membara rindu,
    Mengharap suami setia di sisi.

    "PANTUN PUSAKA BANGSA”

    Ilham rasa,
    PAUZI MOHD ISA,
    SMJK Choong Hua,
    35500 Bidor, Perak
    10.2.2013(Ahad),
    Jam, 8.20 pagi.