Friday 8 February 2013

GURINDAM PEKASAM DI BUYUNG


Pekasam di buyung diperap lama,
Dendam dihurung usah terbiasa.

Pekasam di buyung loma dan tilapia,
Satu kampung perlu berkerjasama.

Pekasam di buyung resepi bonda,
Ilmu menggunung penuh di dada.

Pekasam di buyung hidang di meja,
Tetamu disanjung melayan mesra.

Pekasam di buyung amat berselera,
Dadanya kosong ruginya berganda.

Pekasam di buyung berbau aroma,
Baik berselindung jika menderma.

Pekasam di buyung ikan beraneka,
Bersifat pembohong munafik kita.

Pekasam di buyung dibuat berniaga,
Dapat untung bersyukur pada-Nya.

Pekasam di buyung menu istimewa,
Kita beruntung menjadi tetamu-Nya.

Pekasam di buyung diawet di para,
Amalan diusung biarlah sempurna.

Pekasam di buyung susah nak jumpa,
Budaya bertembung hilang wirama.

Pekasam di buyung kucari di serata,
Ilmu kukendong belum sempurna.

Pekasam di buyung dicedok segera,
Nyawa di hujung perlulah bersedia.

Pekasam di buyung gurindam hamba,
Ketika termenung menerpa di minda.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor,Perak DR.
8.2.2013,Jumaat.
Jam 4.15 petang.