Tuesday 19 February 2013

GURINDAM CARILAH


GURINDAM CARILAH

 Carilah jalan cerlang di hadapan,
Cahaya berkelipan kemilau intan.

Carilah ilmu penyuluh haluan.
... Tidak kelabu di masa hadapan.

Carilah rezeki yang halal dimakan,
Hidup diberkati ada keberkatan.

Carilah jodoh insan yang beriman,
Tidak keloloh menjaga kesantunan.

Carilah bekalan di akhirat nanti,
Hanya amalan membenteng diri.

Carilah sahabat sehidup semati,
Hubungan erat masalah dikongsi.

Carilah mu’alim menimba ilmu,
Di serata mukim banyaklah guru.

Carilah peluang meraih laba,
Jangan hilang integriti mulia.

Carilah pemimpin adil saksama.
Biarlah bermain disiplin agama.

Carilah harta rajin berusaha,
Jikalau terleka makinlah papa.

Carilah calon berkenan di hati,
Watak berlakon akan dibenci.

Carilah rahsia penawar sanubari,
Pergilah musolla belajar mengaji.

Carilah kawan menangis bersama,
Jauhilah teman prejudis wasangka.

Carilah amalan mendakap pahala,
Sebagai bekalan dibawa ke sana.

Carilah ketenangan di dalam jiwa,
Penuh ketakwaan pada yang Esa.

Carilah cinta di halaman kasih,
Indah agama keimanan jernih.

Carilah mutiara menggali usaha,
Menadah doa kudrat diperkuda.

Carilah pahala menyirna dosa,
Susah di dunia bahagia di sana.

Carilah cahaya keimanan di jiwa,
Menadah doa keampunan dipinta.

Carilah kekasih menawan sukma,
Lidah bertasbih kemlau imannya.

Carilah kunci menghadapi mati,
Usia yang berlari pusara menanti.

Wallahu’alam.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor, Perak DR
18.2.2013,Isnin,
Jam 3.00 petang