Wednesday 13 February 2013

GURINDAM BIJI GETAH


GURINDAM BIJI GETAH

 Biji getah meletup dah pecah,
Kerana fitnah benci kecambah.

Biji getah terpelanting jauh,
... Ilmu dijamah biarlah jenuh.

Biji getah keras kulitnya,
Usah kalah iblis liciknya.

Biji getah berselerak di tanah,
Kerana lidah umpat bernanah.

Biji getah isi dalamnya putih,
Biarlah indah di nubari bersih.

Biji getah permainan congkak,
Di lidah basah zikirnya banyak.

Biji getah kulitnya bercorak,
Budaya rasuah usah bercelak.

Biji getah dilagakan kanak-kanak.
Air mahabbah janganlah berkerak.

Biji getah kelongsongnya tajam,
Bahana dadah bangsa tenggelam.

Biji getah tidaklah dipeduli,
Persis sampah budi dicemari.

Biji getah bahan mencongak,
Ajaran salah haruslah dielak.

Biji getah pokoknya dikahwin,
Di atas sejadah bersolat rajin.

Biji getah bersepah di ladang,
Biarlah indah ibadat panjang.

Biji getah kenangan hamba,
Sampai pecah bijinya dilaga.

Biji getah tersirat maknanya,
Sudah kubelah cari geliganya.

Wallahu’alam.
Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA
Kg Serentang Baru,
35500 Bidor,Perak DR
14.2.2013,Khamis.
6.00 pagi.