Saturday 16 February 2013

GURINDAM APABILA DATANGNYA PETANDA


GURINDAM APABILA DATANGNYA PETANDA

 Petanda ilmu menjalir noda,
Riak bertamu ranggi berkaca.

Petanda kerja tidak sempurna,
... Gigih tiada dek bersambalewa.

Petanda keluarga tidak bahagia,
Pabila bersama bertekak sahaja.

Petanda kasih tidak bersambut,
Pesanan ditulis tidak bersahut.

Petanda usaha menemui gagal,
Malas mencuba hati tak cekal.

Petanda rezeki tidaklah berkat,
Zuriat sendiri nasibnya kelat.

Petanda solat berlumut daki,
Ingin cepat khusyuknya lari.

Petanda dosa bertapuk di hati,
Sifat yang dursila makanan ruji.

Petanda minda lambat menari,
Mudah pelupa longgar memori.

Petanda neraka sedia menunggu,
Melakukan dosa bertaubat malu,

Petanda fizikal lemah gemalai,
Dulu memikul sekarang longlai.

Petanda umur kian meningkat,
Kalau ke sumur semakin lambat.

Petanda mati kian menghampiri,
Ke sana-sini tongkatnya di sisi.

Petanda ajal semakin mendekati,
Badan yang pejal dah pucat lesi.

Petanda pusara menggamit-gamit,
Terlantarnya dijaga tenatnya sakit.

Wallahu’alam.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA
SMJK Choong Hua,
35500 Bidor,Perak DR
14.2.2012,Jumaat
Jam 4.15 petang.