Saturday 12 November 2011

Harumnya Di Hujung Bicara

tak akan terasa hati andaipun bintang disapuh awan
kerana kutahu bayangnya masih saja berkocak di danau sepi
yang tak akan terjangkau dengan kerinduan hati
selagi masih ada bulan bersamanya menghias di dada langit
biarpun dingin angin menghantar kerlipannya
tidak akan seperti kekunang menghantar diri
menghias dedaun waru yang rimbunnya memagari rasa
sedang rasa tak pernah sirna memaknai sayang
yang berakarkan cinta berbungakan kasih

akan kukutiplah butir-butir pasir
setiap kali jejakku menapaki gigian pantai
meskipun bayang semakin panjang diterjah mentari
kutahu senja merah akan bersama menghiasi diksi dan bait cinta
tersulam indah pada kanvas hati berbingkai rindu
bahagiapun harum di hujung bicara