Thursday 17 November 2011

CERPEN: PERHENTIAN TERAKHIR

Cuaca pagi itu sangat cerah. Kelihatan embun di hujung daun berkilauan disinari cahaya mentari. Langit biru dihiasi tompok awan putih yang sangat indah. Ada tompokan awan yang berbentuk seperti mickey mouse, peha ayam dan kelopak bunga. Udara di kawasan lereng bukit bercampur dengan bau rumput yang baru dipotong sangat menyegarkan. Azman menggemari bau rumput yang baru dipotong. Entah kenapa bau seperti itu amat mendamaikan dan membuatkan jiwanya menjadi tenang.

Azman bangun pukul lima pagi seperti hari-hari sebelumnya, sejak bertahun dulu. Rutin ini telah menjadi kebiasaan baginya. Selepas mandi dia akan ke surau untuk membuka pintu, pasang lampu dan menyiapkan ruang solat untuk para jemaah. Sejak dia tinggal di sini lima tahun yang lalu, beliaulah yang menjadi siak di surau dan bertanggungjawab penuh menjaga kebersihan surau. 

Selesai solat sunat tahiyatul masjid, Azman akan beriktiqaf dan membaca Al Quran sementara menunggu masuk waktu subuh. Azman merasa tenang dengan membaca ayat-ayat suci Al Quran. Sesungguhnya segala kebuntuan fikiran akan menghilang ketika beliau membaca kalam suci Allah. Sesekali Azman menyapu airmata yang mengalir di pipinya. Azman terkenangkan zaman mudanya yang penuh khilaf dan dosa. Azman telahpun bertaubat dan menyesali perbuatannya yang lalu.

Selesai solat subuh berjemaah, Azman terus bersalaman dengan imam dan para jemaah yang merupakan teman sebumbung dengannya. Mereka semua lebih kurang sebaya umur namun Azman sangat terkenal di situ kerana zaman mudanya yang penuh sejarah hitam. Parut-parut luka bekas tetakan di tubuhnya menjadi artifak tinggalan masa silam.

Azman pernah dipenjara semasa berusia tiga puluh lima tahun kerana membunuh orang. Setelah selesai hukumannya dia telah berusia tujuh puluh tahun dan tidak punya siapa-siapa lagi dalam hidupnya. Dia dibesarkan di rumah anak yatim kerana ditinggalkan ibunya di tepi tangga masjid. Dia tidak pernah mengenali siapa ayah dan ibunya yang sebenar. Telah lama dibiarkan persoalan tentang dirinya berlalu tanpa jawapan. Adakah dia anak luar nikah? Adakah ibunya ditinggalkan teman lelaki setelah dihamilkan? Adakah ibunya tersiksa melahirkannya sendirian tanpa bantuan? Namun dia tetap bersyukur kerana wanita yang melahirkannya tidak berlagak Tuhan lalu membunuhnya.

Sejak dari kecil Azman adalah seorang yang lasak. Dia adalah seorang kaki buli di asrama anak yatim tempat tinggalnya. Bila habis sekolah rendah Azman melarikan diri dari rumah anak yatim ke Georgetown dan bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran di Jalan Penang. Pekerjaan itu cuma bertahan selama sebulan. Azman dipecat kerana menumbuk muka penyelia restoran itu akibat tak tahan dimaki hamun setiapkali dia melakukan kesalahan.

Azman pasrah dengan ketentuan Allah. Segala perbuatannya telah dibalas di dunia ini. Dia turut bersyukur kerana Allah memberikannya kesempatan bertaubat dan mendalami agama semasa dia di penjara. Dia telah bersumpah tidak akan terlibat dengan pergaduhan jika dia berkesempatan keluar lagi. Dia ingin hidup dalam ketenangan dan kedamaian dalam permulaan baru selepas keluar dari penjara.

Kini Azmanlah orang yang paling tenang dan penuh dengan senyuman. Riak wajahnya jernih dan sentiasa tersenyum. Selain membersihkan surau, dia juga berkebun dan gemar membantu rakan-rakan yang senasib dengannya di Rumah Orang-orang Tua Seri Kenangan. Berbanding lelaki yang sebayanya, Azman seorang yang sihat dan masih kuat mungkin kerana amalan senaman yang dilakukannya setiap hari. Azman juga tidak minum minuman berais sejak dari zaman mudanya lagi.

Hidupnya yang berpindah-randah bertukar pekerjaan kerana panas barannya berlanjutan sehingga usianya meningkat tiga puluh tahun. Seluruh usia mudanya dihabiskan dengan mendalami berbagai jurus persilatan. Hampir kesemuanya dia belajar, Kuntau, Gayong, Lincah, Muay Thai, Karate, Taekwando, Judo dan Aikido. Akhirnya dia menjadi seorang mahir bertarung dan juga digeruni kerana panas barannya juga sama hebat.

Azman bertugas sebagai bouncer  di sebuah kelab malam di Georgetown. Hanya pekerjaan itulah yang sesuai dengan orang yang berani, mahir ilmu persilatan dan panas baran. Dia tidak gentar berhadapan dengan siapapun yang berani mencabarnya. Lawan yang belum mengenalinya pasti akan cedera parah, manakala yang kenal dengannya akan terus lari. Sebut saja nama Azman Bouncer, pasti ada yang terkencing di dalam seluar!

Bahang matahari semakin menyegat kulit tubuhnya. Azman masih lagi di kebun memeriksa ulat dan serangga perosak yang menyerang tanaman peria, bendi, cili dan kacang botol. Dia juga membuang rumput-rumput yang tumbuh di tepi batas tanamannya. Azman akan memberi sayur-sayuran yang ditanamnya kepada Ahmad, tukang masak kantin bila tanamannya sedia untuk dipetik.

“Pak Man, dah tengahari ni, sudahlah berkebun tu. Makanlah dulu, nanti sambung balik.” Ahmad berteriak dari kantin memanggil Azman.

“Sekejab lagi saya datang, sikit lagi ni.” Balas Azman.

“Ok, jangan tak makan pulak, saya simpan lauk kegemaran Pak Man, Asam Pedas Ikan Pari.” Tambah Ahmad.

“Ok, Mat, terima kasih.” Sahut Azman sambil mengangkat tangan seperti seorang tentera bertabik kepada pegawainya.

Ahmad, tukang masak di situ sangat perihatin dengan Azman. Dia menganggap Azman seperti ayahnya sendiri. Azman yang tak pernah berkahwin dan mempunyai anak sangat terharu dengan kebaikan hati Ahmad. Aidilfitri tahun lepas, Ahmad membawanya beraya di kampung bersama anak dan isteri. Sejak dari itu Azman semakin rapat dengan Ahmad. Hidupnya jadi lebih bermakna dengan adanya Ahmad dan keluarganya. Kini Azman dapat merasai kebahagiaan berkeluarga yang belum pernah dirasakan seumur hidupnya.

Lepas makan tengahari Azman solat Zohor berjemaah di surau. Habis bersolat Azman mencuci kolah dan bilik air. Belumpun sempat lumut kembali di dinding kolah dan tandas, Azman sudahpun mencucinya semula. Azman memang seorang yang rajin dan tidak akan senang duduk diam. Hidupnya dipenuhi dengan aktiviti menjaga surau dan berkebun. Azman tidak mensia-siakan tubuhnya yang sihat dengan membantu penghuni lain yang kurang sihat menjemur pakaian dan sebagainya.

Azman ingin menghabiskan sisa hidupnya dengan membantu orang lain sebagai ganti segala kesilapan yang dilakukannya dulu. Walaupun bantuannya sedikit sahaja, Azman tetap akan teruskan selagi dia hidup. Dosa silamnya sentiasa menghantui fikiran. Telah banyak orang yang dicederakannya. Telah banyak kali dia masuk penjara. Tapi kali itu Azman telah terlanjur membunuh dan dipenjarakan selama tiga puluh lima tahun.

Semuanya berpunca kerana dia meleraikan pergaduhan di antara dua kumpulan gangster, di kelab malam tempatnya bekerja. Azman dipanggil oleh Bartender Muthusamy kerana ada pelanggan bergaduh. Azman bergegas dan mendapati ada dua pelanggan sedang beradu pisau. Seorang dengan pisau Rambo dan seorang lagi dengan belati. Habis semua pelanggan yang berhampiran bertempiaran lari. Azman terus melompat dan menerjah lututnya ke belakang seorang gangster yang bergaduh. Akibat terjahan itu, gangster itu tersembam menyembah bumi.

Seorang lagi yang berpisau Rambo terus mengacah pisaunya ke muka Azman yang sedang mengemaskan posisinya. Gangster itu terus berlari dan menetak Azman dengan kuat. Azman berpusing separuh bulatan dan menusuk sikunya ke rusuk gangster itu. “Prakk!” Tulang rusuknya patah akibat dari momentum tenaga yang terhasil dari lariannya sendiri. Seorang lagi panik lalu bangun dan terus melarikan diri.

Belumpun sempat Azman pulang ke rumah malam itu, kelab malam diserbu oleh sepuluh orang gangster. Rupanya gangster yang cabut lari kembali membawa geng yang lebih ramai. Melihat keadaan itu, Azman mengambil keputusan untuk tawar-menawar.

“Kalau anak jantan, mari berlawan satu lawan satu tanpa senjata.” Kata Azman kerana pasti dia akan dikerjakan mereka yang bergolok dan berparang.

“Ha ha ha!, bodohnya bouncer ni. Kalau kami nak lawan satu lawan satu, buat apa kami datang ramai-ramai.” Kata seorang dari gangster yang bertatu di lengan. “Ok geng, bantai dia cukup-cukup.” Katanya mengarahkan serangan ke atas Azman.

Azman menggunakan jurus Muay Thai kerana sesuai berlawan di ruang yang sempit. Tangan, lutut dan sikunya berdarah kesan terjahan ke muka dan tubuh setiap seorang. Azman masih kekal dalam lingkungan tiga ratus enam puluh darjah pusingan dan matanya liar mencari peluang bertindak. Setiap serangan dipatahkan dengan tangan, siku, tumbukan dan lutut. Azman langsung tidak menendang kerana tidak mahu mendedahkan kakinya kepada tetakan senjata musuh.

Satu demi satu pecah rahang, patah tulang rusuk dan terkehel sendi siku, tangan, bahu dan lutut. Azman memang handal beraksi tanpa senjata. Akhirnya semuanya tumpas di tangan Azman melainkan ketuanya yang bertatu. Azman kepenatan dan telah cedera ditetak di bahunya. Namun dia masih berdiri tegak tanpa reaksi sakit tergambar di wajah. Ketua gangster menyerang Azman dengan jurus-jurus karate dan taekwondo. Memang hebat dan lincah gerakan dengan pukulan-pukulan yang tepat ke tubuh Azman yang sedang keletihan.

Ketika Azman terhoyong-hayang akibat sepakan di kepalanya, ketua gangster terus menyerang tanpa henti dengan kekuatan yang disimpan dari tadi manakala Azman telahpun keletihan kerana berlawan dengan sembilan orang. Dalam kekaburan pandangan Azman dilibas dengan pedang dan mengenai lengannya. Azman dengan pantas mengambil kerambit di celah poket talipinggangnya dan menusuk perut ketua gangster lalu membelah hingga terburai ususnya. Ketua gangster mati di situ juga. Azman menyerah diri kepada polis dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh.

Pada mulanya Azman dilepaskan oleh mahkamah dari tuduhan membunuh kerana dia membela diri atau self defence, namun keluarga mangsa membuat rayuan melalui peguam tersohor Jaswant Singh. Dia kemudiannya dihukum penjara seumur hidup oleh mahkamah rayuan.

Azman bersyukur kerana ada hikmah di sebalik kejadian yang menimpanya. Rayuan keluarga mangsa dan kehandalan peguam Jaswant Singh serta semuanya adalah ketentuan Allah. Hukuman penjara menahannya dari melakukan lebih banyak kejahatan. Di penjara pula dia telah mendalami ilmu agama dengan ustaz-ustaz yang mengajar di sana. Azman yakin; bahawa Allah masih sayang padanya.

Biarlah Rumah Orang-orang Tua Seri Kenangan ini menjadi perhentian terakhirnya. Menghabiskan sisa-sisa hidup sebagai seorang hamba yang taat kepada Allah. Menjaga surau, berkebun dan membantu penghuni lain yang sakit dan kurang upaya. Di sinilah dunianya, sahabatnya dan keluarganya. Dia ingin menyimpan kisah silam di sebalik parut-parut lama yang ada di tubuhnya. Dia ingin mati dalam keadaan bertaubat, beriman dan bertakwa.
TAMAT